malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wawasan, Gerakan tak sertai PRN Johor - Isyarat PN makin berantakan
Diterbitkan:  Jun 25, 2026 4:42 PM
Dikemaskini: 11:12 AM
ADS

Parti Wawasan Negara (Wawasan) mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada 11 Julai ini.

Presidennya, Hamzah Zainudin, berkata sebaliknya parti itu akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan dan yang penting ketika ini adalah memastikan peranan Wawasan sebagai menjadi jambatan penyatuan dalam Perikatan Nasional (PN).

Hamzah Zainudin

“Di Johor ini adalah gelanggang pertama selepas PRN Sabah, maka saya sebagai presiden yang baru, saya nak perhatikan supaya kita ambil tindakan yang paling baik.

“Jadi kita buat keputusan untuk tidak serta PRN Johor,” katanya kepada wartawan semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.

‘Tidak sertai tidak bermakna tidak sokong mana-mana calon’

Hamzah berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa pertimbangan dan menegaskan berkata pihaknya kekal menyokong mana-mana calon yang dirasakan layak untuk memenangi kerusi pada pilihan raya itu.

“Tidak sertai tidak bermakna tidak sokong mana-mana calon. Kita sokong barisan calon-calon yang layak untuk menguruskan negeri Johor pada masa akan datang,” katanya.

Ditanya jika Parti Cinta Malaysia (PCM) yang sedang ditukar namanya itu mampu bekerjasama dengan Bersatu yang sebelum ini memecatnya, bekas timbalan presiden parti itu berkata, ia turut akan dipertimbang.

“Saya sedang melihat segala apa yang mereka (Bersatu) nak ambil (tindakan), fikir saya sebagai seteru atau mereka nak fikir parti ini sebagai kawan mereka dalam PN,

“Semua itu akan diambil kita,” katanya sambil menambah bahawa ini memandangkan kedua-dua parti itu kini berada dalam gabungan PN.

"Kalau dianggap sebagai seteru, maka berseterulah kami. Sebab itu sekarang saya sedang melihat segala kenyataan yang mereka keluarkan.

"Sama ada mereka mahu melihat saya sebagai seteru atau mahu melihat parti ini sebagai rakan mereka dalam PN, semua itu akan diambil kira," katanya.

Kemelut PN

Kemelut PN timbul apabila Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu melalui kenyataan Selasa lalu mempersoal tindakan PN menerima keanggotaan PCM sebagai anggota gabungan itu, dengan dakwaan langkah berkenaan hanya akan menambah masalah dalaman sedia ada.

Dia berkata bantahan itu dibuat atas dasar PN ketika ini masih berdepan isu antara parti anggota selepas PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.

hmad Faizal Azumu

Pada masa sama, Ahmad Faizal mendakwa permohonan PCM yang diambil alih oleh kem seteru Bersatu daripada kumpulan Hamzah Zainudin untuk menyertai PN tidak teratur selepas semakan mendapati terdapat isu berkaitan jawatan kepimpinan dan penggunaan nama parti.

Dakwanya permohonan itu dibuat Saifuddin Abdullah selaku setiausaha agung PCM, namun rekod rasmi menunjukkan setiausaha agung PCM bagi tempoh 2026 hingga 2027 ialah Yeo Kwee Kwang.

Dakwanya lagi maklumat barisan kepimpinan yang dikemukakan pula menggunakan nama Parti Wawasan Negara (Wawasan) sedangkan permohonan dibuat atas nama PCM.

Tambahnya, wakil Bersatu turut membangkitkan perkara berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Tergempar PN tadi dan berpandangan mesyuarat berkenaan perlu ditangguhkan susulan maklum balas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Katanya RoS sebelum itu memaklumkan terdapat beberapa dokumen yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan kepada jabatan berkenaan tidak lengkap dan tiada tandatangan.

Gerakan tarik diri demi 'gambaran lebih besar'

Dalam perkembangan berasingan, Gerakan Johor turut mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN Johor.

Teo Kok Chee

Pengerusi negeri, Teo Kok Chee berkata keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat bersama hari ini antara jawatankuasa perhubungan negeri, sayap wanita, dan sayap pemuda Gerakan Johor. Dia menyifatkan penarikan diri itu sebagai pilihan rasional bersama yang mengutamakan kepentingan PN yang lebih luas.

"Walaupun Gerakan Johor tidak akan meletakkan sebarang calon kali ini, itu tidak bermakna kami akan menyepi daripada pilihan raya negeri.

“Sebaliknya, kami akan terlibat secara aktif dalam bentuk lain, dengan menumpukan sepenuh usaha terhadap kerja-kerja pilihan raya bagi memastikan kemenangan yang lebih besar buat PN," katanya.

Teo menegaskan bahawa kerjasama erat dan kerja berpasukan dalam PN adalah penting bagi membuktikan gabungan itu merupakan pilihan yang stabil, pragmatik, dan bertanggungjawab untuk pengundi Johor.

"Kami tidak akan hilang semangat juang hanya kerana tiada calon di lapangan.

“Sebaliknya, kami akan mengumpulkan sumber kami untuk membantu sepenuhnya calon PN bagi memenangi mandat pengundi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masa depan Johor," katanya.

Ketidakpuasan terhadap kerusi 'sukar menang'

Di sebalik paparan solidariti rasmi itu, laporan berita Mandarin 8TV yang memetik sumber dalaman parti mendedahkan wujud rasa tidak puas hati yang mendalam di kalangan pemimpin Gerakan berhubung pengagihan kerusi PN.

Menurut laporan itu, mesyuarat tergempar hari ini sebenarnya dicetuskan oleh rasa tidak puas hati yang memuncak di peringkat akar umbi terhadap tujuh kerusi yang diperoleh presiden parti, Dominic Lau semasa rundingan di peringkat pusat.

Dominic Lau

Akar umbi dilaporkan melabelkan kerusi berkenaan—yang kesemuanya merupakan kubu kuat majoriti Cina yang sekian lama dikuasai DAP—sebagai kawasan "tulang tegar" (sukar dimenangi).

Sumber itu mendakwa cadangan awal agar PAS menyerahkan satu atau dua kerusi campuran yang kompetitif kepada Gerakan akhirnya gagal, apabila kawasan tersebut sebaliknya diperuntukkan kepada Bersatu.

Ini menyebabkan pemimpin negeri dan ahli akar umbi berasa tidak dilayan secara adil dan dinafikan peluang untuk mendapatkan kerusi yang berpotensi untuk menang.

Disangkal Gerakan pusat

Bagaimanapun, laporan itu kemudiannya disangkal oleh setiausaha Gerakan Johor yang juga Naib Presiden Nasional, Koo Shiaw Lee, yang menjelaskan bahawa kerusi-kerusi berkenaan sebenarnya adalah sebahagian daripada senarai idaman parti itu sendiri.

Dia menegaskan bahawa keputusan sebulat suara untuk tidak bertanding pada pilihan raya itu merupakan langkah pragmatik berdasarkan kesediaan parti dan pengagihan sumber, sambil menambah bahawa Gerakan Johor kekal komited sepenuhnya untuk menyokong penempatan strategik keseluruhan PN.

Sambil mengulangi bahawa Gerakan Johor menghormati mekanisme rundingan PN, Koo memberi jaminan bahawa parti itu akan terus menyokong penempatan strategik gabungan berkenaan dan menggesa orang ramai agar tidak mempercayai laporan spekulatif yang tidak sah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen