malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB nafi Istana campur tangan isu pembubaran DUN Johor
Diterbitkan:  Jun 25, 2026 10:55 AM
Dikemaskini: 3:03 AM
ADS

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor Onn Hafiz Ghazi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas anggota parlimen Mohd Puad Zarkashi kononnya dia pernah memaklumkan bahawa pihak Istana ‘mengarahkan’ pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Dia yang juga Menteri Besar berkata pembubaran tersebut dibuat selepas mendapat titah perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Tunku Mahkota Ismail

Mengulas lanjut, Onn Hafiz menjelaskan Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Negeri Johor sesuka hati kerana proses berkenaan perlu melalui saluran yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan.

"Saya menghadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka.

“Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik," katanya dalam satu kenyataan, di Johor Bahru, hari ini.

Dia menyifatkan tindakan memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah itu sebagai amat tidak bertanggungjawab sehingga mewujudkan persepsi kononnya Institusi Diraja mencampuri urusan dan keputusan politik Umno Johor.

Mohd Puad Zarkashi

Onn Hafiz turut memaklumkan bahawa walaupun Mohd Puad mempunyai hak untuk meninggalkan Umno dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti, kenyataan yang dikeluarkan itu adalah amat serius.

Beliau berkata, kenyataan sedemikian berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.

Umno Johor bakal lapor polis dakwaan Puad

Susulan perkembangan itu, Onn Hafiz memaklumkan bahawa Umno Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.

Dia turut menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik.

Terdahulu, Mohd Puad menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen