malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu poster 'kelebihan' mualaf Upsi: Senator, NGO desak siasatan telus
Diterbitkan:  Jun 16, 2026 5:33 PM
Dikemaskini: 9:58 AM
ADS

Senator DAP RA Lingeshwaran menuntut agar siasatan dijalankan terhadap satu poster yang tertera nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) yang mempromosikan pendaftaran mualaf baharu.

Sambil mengambil maklum penjelasan institusi di Perak itu bahawa poster berkenaan tidak mendapat kelulusan sebelum diedarkan, dia berkata perkara itu tetap mesti disiasat kerana mencetuskan kebimbangan orang ramai.

RA Lingeshwaran

Salinan poster yang didakwa diterbitkan semalam dan tular di media sosial itu menyenaraikan beberapa kelebihan untuk mahasiswa Upsi yang mendaftar sebagai saudara baharu Islam.

Poster yang memaparkan logo Upsi, pusat Islam universiti, jabatan hal ehwal pelajar dan alumni, serta lambang Malaysia Madani itu menyebut bahawa mahasiswa yang memeluk Islam boleh mendapat yuran pengajian percuma.

Ia juga mendakwa bahawa mahasiswa yang memeluk Islam akan ditawarkan bantuan kewangan dan boleh menyertai sesi perkongsian pengalaman bersama mualaf lain.

Poster itu seterusnya mempromosikan kelas bimbingan yang dibuka kepada mahasiswa bukan Islam yang berminat untuk mempelajari tentang Islam.

Dalam satu notis semalam, bahagian komunikasi korporat Upsi berkata poster itu tidak pernah dikemukakan untuk semakan atau kelulusan pihak pengurusan universiti. Tambahnya, poster itu diedarkan di luar saluran rasmi dan tindakan susulan sedang diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Desakan siasatan telus

Bagaimanapun, Lingeshwaran berkata dalam satu kenyataan hari ini, penafian pihak universiti sahaja tidak mencukupi untuk meredakan kebimbangan orang ramai memandangkan bahan itu menyentuh isu sensitif dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Oleh itu, dia meminta siasatan yang menyeluruh, telus dan bebas dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menghasilkan, meluluskan atau menyebarkan poster berkenaan.

Dia juga menggesa agar hasil siasatan diumumkan kepada orang ramai bagi memastikan ketelusan dan mengembalikan keyakinan terhadap institusi pendidikan awam, serta mendesak tindakan tatatertib yang tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar prosedur atau menyalahgunakan nama universiti.

Lingeshwaran menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi mesti memastikan siasatan dilakukan secara menyeluruh dan tanpa sebarang gangguan.

“Sebagai sebuah institusi pendidikan awam yang dibiayai oleh rakyat daripada pelbagai kaum dan agama, Upsi mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap program dan bentuk komunikasi rasmi dilaksanakan dengan penuh sensitiviti terhadap kepelbagaian masyarakat Malaysia serta mematuhi prosedur yang ditetapkan.

“Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, sebarang kegagalan untuk menangani isu seumpama itu dengan tegas hanya akan menghakis keyakinan orang ramai terhadap institusi awam yang sepatutnya menjadi milik semua, tegas senator itu.

NGO sokong desakan siasatan

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia Hindhudharma Maamandram turut menyokong desakan supaya siasatan dijalankan, dan menggesa semua pihak untuk mengekalkan sikap saling menghormati, kebebasan beragama dan perpaduan negara.

“Perkara yang melibatkan agama adalah sangat sensitif dan harus dikendalikan dengan integriti, ketelusan serta menghormati kebebasan beragama yang dijamin untuk semua warganegara.

“Kami menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang penyalahgunaan perkara berkaitan agama yang boleh mencetuskan salah faham, ketidakpercayaan atau ketidakharmonian dalam masyarakat berbilang budaya kita,” kata presiden kumpulan itu, Rishi Kumar Vadivelu.

Dalam satu kenyataan berasingan, Persekutuan Hak Asasi Manusia Global menyatakan bahawa walaupun setiap individu mempunyai hak asasi untuk mempelajari mana-mana agama dan membuat keputusan peribadi mengenai perkara berkaitan kepercayaan, keputusan sedemikian mesti dibuat secara bebas dan tanpa sebarang bentuk dorongan langsung atau tidak langsung.

“Promosi program penukaran agama yang disertakan dengan insentif kewangan, pendidikan, atau kebajikan menimbulkan kebimbangan etika dan hak asasi manusia yang penting.

“Inisiatif sedemikian berisiko mewujudkan persepsi bahawa faedah material digunakan untuk menggalakkan pertukaran kepercayaan, sekali gus menjejaskan prinsip kebebasan beragama yang tulen dan persetujuan termaklum,” tambah pertubuhan itu.

NGO itu turut mendakwa pihaknya menerima banyak aduan dan kebimbangan daripada keluarga yang mendakwa anak mereka didapati menjalani penukaran agama semasa belajar jauh dari rumah, sering kali tanpa pengetahuan atau pemahaman ibu bapa mereka.

Oleh itu, pertubuhan tersebut mendesak penubuhan dasar yang jelas bagi memastikan institusi pendidikan awam kekal berkecuali dari segi agama dan hak, maruah, kebebasan hati nurani, serta kebajikan semua pelajar dilindungi sepenuhnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen