malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pendidikan tahfiz medan bentuk insan berakhlak, jati diri kukuh
Diterbitkan:  Jun 15, 2026 9:00 PM
Dikemaskini: Jun 16, 2026 5:12 AM
ADS

Bidang pendidikan tahfiz bukan hanya proses menimba ilmu, tetapi medan membentuk insan berakhlak selain mempunyai jati diri yang kukuh.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, institusi tahfiz adalah tempat yang melahirkan insan seimbang dalam aspek kecemerlangan akademik dan penghayatan agama.

"Hasrat saya untuk melihat maahad tahfiz menjadi sebuah institusi pendidikan terulung di Malaysia telah menjadi kenyataan.

"Kejayaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang tersenarai dalam kelompok tiga sekolah terbaik di Malaysia dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 adalah bukti kecemerlangan sistem pendidikan tahfiz negeri ini," titah baginda semasa Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2026 di Kuantan, Pahang, hari ini.

Seramai 48 pelajar cemerlang SPM menerima anugerah kecemerlangan pada majlis itu.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Nazri Abu Bakar.

Al-Sultan Abdullah bertitah, dalam perkembangan dunia yang semakin mencabar dengan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan, automasi dan ekonomi digital, generasi muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan daya saing global tanpa mengabaikan nilai adab dan akhlak.

"Saya yakin masa depan anak-anak tahfiz di Pahang amat cerah dan menjanjikan peluang lebih luas berbanding sebelum ini.

"Generasi huffaz hari ini tidak lagi tertumpu kepada bidang keagamaan semata-mata, bahkan berpotensi menjadi pakar dalam pelbagai bidang strategik seperti perubatan, kejuruteraan, teknologi dan kepimpinan negara.

"Dengan asas agama yang kukuh, mereka mampu tampil sebagai pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut profesionalisme, malah teguh pegangan agama, berakhlak mula dan mempunyai integriti tinggi," titah baginda


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen