malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRN Johor: Bersama sasar wang pertaruhan tak hangus
ADS
2

Parti Bersama menyasarkan untuk tidak hilang deposit pada pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli berkata memandangkan parti itu baru diambil alih kepimpinannya kira-kira tiga minggu lalu, kejayaan mengelakkan kehilangan deposit sudah boleh dianggap sebagai pencapaian besar.

"Kalau contohnya Bersama yang baru tiga empat minggu masuk pilihan raya negeri dan kami tak hilang deposit, memang ia sebenarnya satu pencapaian besar.

"Jadi memang sasaran kita kalau tak hilang deposit, itu bermakna... maksudnya benih itu akan tumbuh," katanya kepada pemberita selepas majlis Jelajah Kancil di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru, malam tadi.

Turut hadir bekas naib presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Presiden Bersama Syukri Razab dan bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Rais Hussin Mohamed Ariff.

Mengulas lanjut, Rafizi mempertahankan sasaran tidak kehilangan deposit sebagai petunjuk awal bahawa parti itu mula mendapat tempat dalam kalangan pengundi.

Katanya, terdapat parti politik yang jauh lebih lama bertapak dan dipimpin tokoh berpengaruh namun masih gagal mengekalkan deposit dalam pilihan raya.

"Sebab itu kalau kami tak hilang deposit satu kejayaan. Bayangkan parti yang lama dengan tokoh yang besar semua dah bertahun-tahun, masih lagi ada parti yang hilang deposit," katanya.

Lebih 500 orang menghadiri jelajah Bersama, dengan lebih 70 peratus terdiri daripada golongan muda selain kehadiran masyarakat Cina yang tinggi.

Menyentuh persiapan menghadapi PRN Johor, Rafizi yang juga bekas timbalan presiden PKR berkata Bersama bersedia menghadapi apa juga keputusan pilihan raya dan akan terus memperkemas strategi sekiranya gagal mencapai sasaran.

"Kalau hilang deposit itu maksudnya kita nak kena bekerja lebih keras lagi.

"Namun sudah tentu, walaupun hilang deposit, kita kena balik semula dan tengok dalam tempoh baru empat minggu, apa kelemahan mungkin dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persediaan meletakkan calon selepas Syukri mengesahkan Bersama akan bertanding secara solo tanpa menyertai mana-mana gabungan politik, Rafizi berkata perkara itu belum diputuskan.

Dia menolak tanggapan bahawa kepimpinan parti sudah mempunyai senarai calon muktamad, sebaliknya menjelaskan proses pemilihan secara terbuka akan bermula minggu ini.

"Kita sebenarnya tak bincang langsung lagi mengenai calon kerana kita akan melalui proses itu yang akan dibuka pada hari Isnin ini," katanya.

Ditanya jika dia sendiri akan muncul sebagai calon "kejutan" di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Rafizi menafikan kemungkinan tersebut atas faktor syarat kelayakan negeri.

"Saya mana boleh tanding? Sebab Adun untuk kerusi negeri, anda mesti menjadi penduduk di negeri itu. Jadi saya memang tak adalah," katanya.

Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi berkuat kuasa serta-merta selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Pada 4 Jun pula, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mengumumkan DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan secara rasmi selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Program Jelajah Kancil malam tadi turut menampilkan sesi dialog terbuka (townhall), yang memberi peluang kepada hadirin mengemukakan pelbagai soalan berkaitan isu semasa.

Di bawah peraturan pilihan raya Malaysia, calon pilihan raya negeri perlu membayar deposit pencalonan sebanyak RM5,000 dan deposit bahan kempen sebanyak RM3,000.

Calon yang gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan, atau 12.5 peratus, daripada jumlah undi sah di kawasan pilihan rayanya akan kehilangan deposit pencalonan.

Penanda aras itu sering digunakan untuk mengukur daya saing pilihan raya sesebuah parti baru atau parti kecil.

Calon yang berjaya mengekalkan deposit mereka lazimnya dianggap telah menunjukkan tahap sokongan minimum daripada pengundi, walaupun gagal memenangi kerusi yang ditandingi.

Dewan Undangan Negeri Johor mempunyai 56 kerusi. Mana-mana parti yang mahu bertanding di semua kerusi perlu menyediakan RM448,000 sebagai deposit sebelum hari penamaan calon.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2