Pihak polis telah mengambil keterangan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berkaitan dua kes.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, berkata kes pertama membabitkan artikel Bloomberg yang mengandungi kenyataan didakwa berunsur fitnah berkaitan pegangan saham Azam dalam Velocity Capital Partner Berhad.
Kes kedua pula berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan ugutan jenayah terhadap ahli perniagaan, Albert Tei.
"Kedua-dua kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat peguam negara selaras dengan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat untuk nasihat dan arahan selanjutnya," kata Kumar.
Bloomberg pada Feb lalu menerbitkan artikel yang melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan Velocity Capital Partner Berhad, yang dianggarkan bernilai hampir RM800,000 ketika artikel itu diterbitkan.
Malaysiakini turut mengesahkan pegangan saham tersebut melalui semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada hari yang sama.
Pertikaian Azam terhadap artikel Bloomberg itu tertumpu kepada kenyataan yang menyebut dia tidak pernah mengisytiharkan hartanya secara terbuka.

Dia mengakui memiliki saham berkenaan, namun menafikan sebarang salah laku dan menjelaskan pegangan tersebut telah diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam. Azam juga berkata saham itu telah dijual pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, jumlah saham Velocity Capital yang dimiliki Azam didakwa melebihi had yang ditetapkan kepada penjawat awam, iaitu tidak dibenarkan membeli saham bernilai lebih RM100,000 dalam mana-mana syarikat.
Siasat lepas terima kecaman
Berikutan kecaman daripada orang ramai, sebuah jawatankuasa tiga anggota yang dipengerusikan Dusuki Mokhtar telah menyiasat isu pegangan saham itu dan menyerahkan laporannya kepada Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar pada Mac lalu.
Jawatankuasa tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam sepatutnya bersidang untuk meneliti dan membincangkan perkara tersebut, namun sehingga kini tiada perkembangan baru diumumkan.
Kabinet turut mengarahkan siasatan terhadap dakwaan “manipulasi korporat” selepas laporan Bloomberg pada 12 Feb yang mendakwa SPRM, termasuk kepimpinannya, bekerjasama dengan ahli perniagaan tertentu untuk menyingkirkan pesaing dan mengatur pengambilalihan syarikat.
Ahli politik kerajaan dan pembangkang turut menggesa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan tersebut, namun usaha itu tidak berjaya diteruskan.
SPRM menafikan dakwaan bahawa pegawainya terlibat dalam “mafia korporat”, sebaliknya menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas serta fitnah untuk memburukkan imej agensi tersebut.
Kes kedua yang disebut Kumar dalam kenyataannya hari ini merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Tei yang mendakwa Azam telah mengugut dan cuba menghalangnya daripada mendedahkan skandal lesen perlombongan di Sabah pada Nov 2024.

Dalam sidang media pada 26 Mei, Kumar berkata Tei mendakwa dia telah diugut oleh Azam melalui peguamnya.
Bagaimanapun, pada 29 Mei, Tei membuat laporan polis terhadap Kumar, dengan ahli perniagaan itu mendakwa bahawa dia tidak pernah membuat dakwaan tersebut dalam laporan awalnya atau dalam kenyataan yang direkodkan oleh pegawai penyiasat.
Azam nafi dakwaan Tei
Selepas memberi keterangan di Bukit Aman hari ini, Azam dilaporkan menafikan semua dakwaan Tei dan menegaskan dia tidak pernah bertemu atau berurusan dengan ahli perniagaan itu.
"Saya juga tidak pernah menghantar peguam untuk bertemu dengan mana-mana pihak yang mewakili saya,” kata Azam seperti dipetik oleh Sinar Harian.
Azam yang tiba kira-kira jam 9 pagi di Bukit Aman berkata dia memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat dan proses merekod keterangan berlangsung kira-kira dua jam.
Sebelum ini, Azam mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tei berhubung dakwaan yang dibuat terhadapnya.

