MIC akan kekal bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang, menurut satu sumber parti yang menghadiri mesyuarat pucuk pimpinan MIC hari ini di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, dijangka satu kerusi akan ditukar dengan Umno bagi memberi ruang kepada parti komponen BN itu bertanding di kawasan yang mempunyai peratusan pengundi India lebih tinggi.
Menurut sumber berkenaan, BN Johor pada dasarnya bersetuju memperuntukkan empat kerusi kepada MIC, sama seperti pada PRN sebelum ini.
"Kerusi yang kekal menjadi milik MIC ialah DUN Kemelah, Bukit Batu dan Kahang. Manakala kerusi Tenggaroh akan ditukar dengan Umno bagi membolehkan MIC bertanding di satu kerusi DUN lain yang mempunyai peratusan pengundi India yang tinggi," kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Tambahnya, keputusan itu dibuat pada 17 Mei lalu dalam satu pertemuan antara pucuk pimpinan MIC dan Badan Perhubungan BN Johor di Johor Bahru.
Pada 17 Mei juga, MIC Johor mengadakan taklimat ejen tempat mengundi (PACABA) peringkat negeri di Austin International Convention Centre, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi serta Presiden MIC, SA Vigneswaran.

Keputusan pembahagian kerusi itu dibuat sehari selepas Menteri Besar Johor mengumumkan pembubaran DUN Johor, selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pembubaran tersebut sekali gus membuka laluan kepada PRN Johor yang dijangka diadakan dalam tempoh 60 hari.
Pada PRN Johor 2022, MIC bertanding di empat kerusi atas tiket BN dan memenangi tiga daripadanya, manakala satu lagi kerusi tewas dengan majoriti tipis.
Antara kemenangan MIC ialah di DUN Tenggaroh yang mempunyai 53 peratus pengundi Melayu dan 21 peratus pengundi India. Bekas Ketua Pemuda MIC, K Raven Kumar menewaskan calon PN, PH dan Pejuang dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 1,356 undi.
Di DUN Kahang, R Vidyananthan berjaya mempertahankan kerusi tersebut selepas menang dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 6,698 undi.
Sementara itu, Ketua Wanita MIC, S Saraswathy memenangi DUN Kemelah dengan 7,518 undi dan majoriti 1,611 undi.
Namun, calon MIC S Suppayah tewas tipis di DUN Bukit Batu kepada calon PH, Arthur Chiong Sen Sern, dengan majoriti hanya 137 undi.
Peruntukan kerusi kali ini turut menarik perhatian memandangkan MIC dan Umno mempunyai sejarah perselisihan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam PRN di enam negeri pada 2023, MIC mengambil keputusan untuk tidak bertanding selepas menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap formula pembahagian kerusi yang dianggap tidak mencerminkan sumbangan parti dalam BN.
Setakat ini, Malaysiakini telah menghubungi ibu pejabat MIC dan BN Johor untuk mendapatkan komen lanjut.

