Bekas menteri, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan langkah untuk mengambil alih Parti Bersama Malaysia.
Perkara itu diumumkan dalam satu majlis khas di Petaling Jaya yang dihadiri kira-kira 800 penyokong.
Parti Bersama Malaysia - atau Malaysian United Party - didaftarkan pada tahun 2016 di Pulau Pinang.
Turut diumumkan ialah logo baru parti itu iaitu kancil bagi menggantikan logo lamanya sebelum ini.
Sementara itu, lima lagi Ahli Parlimen PKR turut hadir dalam majlis berkenaan dan dilihat bergambar bersama Rafizi dan Nik Nazmi.
Mereka ialah Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Kesavan Subramaniam (Sungai Siput), dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).

Turut diilihat hadir kemudiannya ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chun. Lagu A Place in the Sun nyanyian Engelbert Humperdinck dimainkan berulang kali di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya sebelum majlis itu bermula.
Pada akhir ucapannya, Rafizi mengumumkan dia dan Nik Nazmi akan mengosongkan kerusi Parlimen yang disandang mereka pada Isnin ini, dan akan menghantar surat peletakan jawatan kepada PKR bagi menyertai Bersama sebagai ahli pada Selasa.
Rafizi juga mengumumkan pendaftaran untuk Bersama telah dibuka di laman webnya.
Dalam sidang media selepas itu, Rafizi berkata PKR tidak boleh mengambil tindakan terhadap mereka atas dakwaan melanggar akujanji pilihan raya dengan parti tersebut.
Dia menjelaskan bahawa akujanji dengan PKR menyatakan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang jika bertukar sokongan kepada parti lain ketika masih bergelar wakil rakyat.
"Sebelum ni tak ada MP yang sanggup kosongkan kerusi.
"Kami kembalikan mandat kepada rakyat, jadi bila keluar parti Selasa ini, (kami) tak terikat kepada bond (akujanji), sebab itu pilih langkah ini,” kata bekas menteri ekonomi itu.
Ketika ditanya mengenai nasib pengundi di kawasan mereka, Rafizi memberi jaminan dia dan Nik Nazmi akan terus memberikan khidmat kepada rakyat sebaik mungkin, sambil menyatakan pengundi mereka juga telah dirujuk sebelum pengumuman itu dibuat.

“Bagaimana kami berkhidmat kepada kawasan bergantung kepada Ahli Parlimen itu sendiri. Orang seperti saya dan Nik Nazmi mempunyai rekod perkhidmatan yang baik… dan itu akan diteruskan sama ada kami Ahli Parlimen ataupun tidak kerana kami mempunyai pasukan.a.
“Sesetengah daripada sebab kami memilih jalan ini ialah kerana galakan daripada ahli dan pengundi kawasan kami sendiri - pengundi di Pandan dan Setiawangsa kini berasa bimbang terhadap PKR dan Pakatan Harapan.
“Kami mengambil kira pandangan mereka dan percaya kami boleh mengimbangi antara khidmat kepada kawasan serta mempertahankan idealisme yang mereka tuntut daripada kami,” tambahnya.
Rafizi berkata dia dan Nik Nazmi bersedia menghadapi “apa jua kemungkinan” susulan langkah tersebut, sambil menegaskan bahawa jika pilihan raya kecil diadakan, mereka akan mempertahankan kerusi masing-masing.
Rafizi berkata Perlembagaan Persekutuan menyatakan pilihan raya kecil lazimnya tidak perlu diadakan jika kekosongan kerusi berlaku selepas lebih tiga tahun pilihan raya umum, namu terdapat juga peruntukan yang membolehkan Speaker memanggil pilihan raya kecil jika kekosongan itu menjejaskan majoriti dalam kerajaan.
Namun dalam situasi sekarang, Rafizi berkata peruntukan itu tidak terpakai kerana kerajaan masih mempunyai majoriti 150 Ahli Parlimen selepas dia dan Nik Nazmi mengosongkan kerusi mereka.

Sambil menyatakan bahawa masih “terlalu awal” untuk mengulas mengenai Parti Bersama dan menilai penerimaan rakyat terhadap parti itu, Rafizi berkata parti berkenaan tidak bercadang membentuk kerjasama dengan mana-mana pihak.
“Kami tidak akan menyertai mana-mana gabungan. Kami tidak terikat untuk bincang dengan orang itu, orang ini.
“Kami ialah parti berbilang kaum yang boleh bertanding di mana-mana kerusi yang dipegang oleh mana-mana parti,” tambahnya.
Rafizi dan Nik Nazmi meletakkan jawatan sebagai menteri pada Mei tahun lalu selepas tewas dalam pemilihan PKR.
Rafizi, yang kini disiasat SPRM berhubung perjanjian semikonduktor bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings, sebelum ini pernah mencabar PKR memecatnya selepas parti itu mengeluarkan dua surat tunjuk sebab terhadapnya.



