Putra mahu kerajaan memperkenalkan undang-undang baru yang mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang didapati tidak menghormati raja-raja Melayu, termasuk memberi kuasa kepada polis menahan suspek tanpa bicara serta hukuman sebat mandatori bagi pesalah berulang.
Presidennya Ibrahim Ali berkata undang-undang sedemikian perlu bagi mempertahankan kesucian institusi diraja susulan peningkatan insiden penghinaan terhadap raja-raja Melayu kebelakangan ini.
“Mekanisme rang undang-undang ini perlu menyerupai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan, dengan membolehkan pegawai kanan polis menahan sesiapa yang menghina, memperlekeh atau mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana raja Melayu.
“Polis perlu diberi kuasa menahan sesiapa yang menghina institusi diraja selama 14 hari tanpa waran, dan boleh mengekalkan tahanan itu selama dua tahun tanpa bicara.

“Ia juga perlu membolehkan suspek didakwa melakukan kesalahan serius serta berdepan hukuman penjara dan sebat mandatori,” katanya pada satu kenyataan.
Ibrahim yang pernah ditahan ISA sebanyak dua kali berkata jika penghinaan terhadap institusi diraja tidak dibendung segera, ia akan menjadi "barah yang merosakkan adab rakyat yang boleh mencetuskan pergaduhah antara kaum."
"Putra melihat perkembangan mutakhir ini amat membimbangkan dan amat bahaya jika orang Melayu mengamuk bila Raja di hina atau disergah olih manusia-manusia yang tidak ada otak, biadab dan kurang ajar," dakwanya.
Ibrahim turut mencadangkan supaya undang-undang itu memberi kuasa untuk tindakan segera diambil terhadap kandungan digital yang menghina institusi diraja.

Bagaimanapun, bekas ahli parlimen Pasir Mas itu berkata undang-undang tersebut mesti digubal secara adil dengan membezakan perbincangan akademik yang wajar daripada penghinaan.
Perbincangan seperti pandangan perundangan, komen terhadap dasar dan perbahasan akademik yang dilakukan secara berhemah tidak sepatutnya dihukum, tambahnya.
“Penghinaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu, khususnya melalui media sosial, semakin berani, keras dan tidak beradab.
“Ada yang memperlekeh titah diraja, ada yang membuat sindiran melampau, ada yang memanipulasi imej, ada yang menyebarkan fitnah, dan ada yang berselindung di sebalik kebebasan bersuara untuk merendahkan institusi tertinggi negara," katanya tanpa memperincikan kes tertentu.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digubal pada 1960 bagi menghadapi ancaman komunis. Pentadbiran perdana menteri Najib Razak memansuhkan ISA pada 2012 dan menggantikannya dengan Sosma.
Penahanan siasatan tanpa bicara Sosma dikurangkan dari 60 hari (ISA) ke 28 hari.
Selepas 28 hari penahanan siasatan suspek kes Sosma mesti dituduh di mahkamah atau dibebaskan.
Bagaimanapun dengan ISA, menteri dalam negeri berkuasa mengeluarkan perintah tahanan selama dua tahun dan pemenjaraan boleh disambung selama-selamanya tanpa perbicaraan di mahkamah.

Pengkritik menegaskan perdana menteri terdahulu menggunakan ISA untuk mengekalkan kuasa pemimpin kerajaan, selain dakwaan pelanggaran hak asasi manusia, termasuk penyiksaan.
Walaupun ISA merupakan undang-undang pencegahan namun badan hak asasi manusia berkata ia dijadikan alat untuk menangkap pembangkang dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Misalnya, ISA digunakan dalam tragedi Memali pada 1985, digunakan untuk menahan pemimpin pembangkang dan aktivis NGO dalam Operasi Lalang pada 1987 dan digunakan untuk menyekat cabaran Anwar Ibrahim terhadap kepimpinan negara pada tahun 1998.
Ops Lalang pula adalah operasi besar-besaran kerajaan pada 1987 dengan alasan bagi mengelak rusuhan antara kaum. Akibatnya seramai 106 ahli politik dan aktivis ditahan mengikut ISA.

