malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas ketua Pemuda Amanah Perlis kembali sertai Umno
Diterbitkan:  May 4, 2026 11:38 AM
Dikemaskini: 3:41 AM
ADS

Bekas ketua Pemuda Amanah Perlis, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad kembali menyertai Umno selepas pengundurannya sebagai ahli Amanah, pada minggu lalu.

Sejurus mengumumkan keluar daripada parti itu katanya, dia menerima pelbagai panggilan, pertemuan dan jemputan daripada pimpinan beberapa parti politik.

“Saya dengan penuh rendah hati merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sahabat-sahabat daripada PKR, PAS, Bersatu dan Umno atas kepercayaan serta kesediaan untuk bersama saya dalam perjuangan masing-masing. Niat dan keikhlasan tersebut amat saya hargai.

“Namun, setelah melalui pertimbangan yang mendalam, perbincangan bersama penasihat serta pasukan saya, dengan ini saya mengumumkan kembali menyertai Umno,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Ahmad Fadhzil mengumumkan keputusan untuk meninggalkan Amanah, sekali gus melepaskan semua jawatan yang disandang.

Dia berkata langkah tersebut dibuat selepas melalui pertimbangan yang disifatkan sebagai panjang dan mendalam, khususnya melibatkan peranan sebagai pemimpin muda serta hala tuju perjuangan politik yang ingin diteruskan.

Mengulas lanjut Ahmad Fadhzil berkata dia pernah menjadi ahli Umno sejak 2004 melalui Kelab Umno Luar Negara di Ukraine, dan pernah diberi amanah dalam beberapa portfolio termasuk biro kebajikan pelajar serta protokol.

“Saya melihat Umno sebagai ‘Rumah Bangsa’ — wadah perjuangan yang paling tepat untuk saya meneruskan tanggungjawab demi agama, bangsa dan tanah air.

“Saya bertekad untuk bersama kepimpinan dan akar umbi dalam memperkukuh Umno di negeri Perlis.

“Perjuangan ini bukan sekadar politik, tetapi satu amanah besar untuk masa depan negeri dan generasi akan datang. Dengan penuh rasa tanggungjawab, saya melangkah masuk semula ke dalam perjuangan ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen