malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tebuk atap? KJ ungkit cubaan Anwar pada 2008 jatuhkan k'jaan
Diterbitkan:  Apr 29, 2026 11:37 AM
Dikemaskini: 5:45 AM
ADS
2

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membidas pengkritik PKR yang mengutuk tindakan Umno Negeri Sembilan menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun, mengingatkan mereka tentang percubaan pada 16 September 2008 untuk menggulingkan kerajaan persekutuan.

Dalam beberapa siri catatan di Instagram Stories, bekas ahli parlimen Rembau itu mencabar mereka yang menuduh Umno 'tebuk atap' membandingkannya dengan percubaan Anwar Ibrahim - yang merupakan ketua pembangkang ketika itu - menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Abdullah Ahmad Badawi.

"Ramai orang berfikiran cetek dalam PH (pasukan X dan pasukan B) menyerang Umno kerana bersikap oportunis dan menjadi penyebar politik pintu belakang/tebuk atap dalam memanfaatkan krisis untuk melancarkan rampasan kuasa.

"Saya cadangkan semua orang (terutamanya generasi muda) untuk mencari tahu apa yang pernah direncana untuk berlaku pada 16 September 2008 bagi mengetahui siapa yang memulakan politik tebuk atap di Malaysia," katanya.

Selepas kembali ke Parlimen melalui kemenangan pilihan raya kecil (PRK) pada Ogos 2008, Anwar menetapkan 16 September sebagai tarikh akhir untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru. Dia berjanji kepada pengundi bahawa dia akan merampas majoriti BN dengan memujuk ahli parlimennya berpaling tadah kepada gabungan Pakatan Rakyat ketika itu.

Anwar mendakwa dia telah memperoleh sokongan yang mencukupi - lebih 31 ahli parlimen daripada BN - untuk mengambil alih kuasa dan menggesa Abdullah menyerahkan kerajaan secara aman, walaupun percubaan itu akhirnya gagal.

Ia juga dikenali sebagai langkah '916' dan menandakan salah satu langkah politik terawal dalam sejarah politik moden Malaysia, untuk mengambil alih kuasa persekutuan di luar pilihan raya.

Ia kemudian disusuli gerakan politik seperti Langkah Sheraton 2020 yang menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan.

Mengulas kenyataan Khairy, Eekmal Ahmad, yang pada 2018 berkhidmat sebagai setiausaha akhbar Anwar, bagaimanapun menafikan dakwaan percubaan untuk menggulingkan Abdullah.

”Surat yang dihantar kepada Agong, speaker dan mantan PM waktu itu jelas, memohon suatu sidang Dewan Rakyat khusus untuk menentukan sama ada Abdullah ketika itu masih menikmati confidence majoriti ahli Dewan Rakyat atau tidak.

"Tiada sidang media atau SD digunakan untuk menjatuhkan Pak Lah,” kata Eekmal dalam satu catatan di Instagramnya.

Sementara itu, Khairy turut mengulas kritikan pihak yang mengkritik percaturan politik semasa yang disifatkan mengganggu kestabilan kerajaan Negeri Sembilan ketika krisis global.

Khairy menyatakan bahawa apabila Anwar cuba menggulingkan kerajaan persekutuan, dunia sudah pun menghadapi salah satu krisis ekonomi terburuk, yang ditandai dengan ketidakstabilan kewangan yang teruk dan masalah kecairan global.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, Umno Negeri Sembilan dan BN menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa tindakan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin sebagai percubaan rampasan kuasa pintu belakang.

Mereka berkata aa adalah pendirian politik yang sah yang diambil apabila keyakinan terhadap kepimpinan menteri besar telah hilang, sambil mengingatkan PH bahawa krisis politik di negeri itu melibatkan institusi adat, perlembagaan negeri, undang-undang perlembagaan negeri Negeri Sembilan, serta kestabilan pentadbiran negeri.

Semalam, BN Negeri Sembilan, yang diketuai oleh Umno, turut meminta untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengenai perkembangan terkini susulan penarikan sokongan mereka terhadap Aminuddin.

Pengerusinya, Jalaluddin Alias, berkata mereka bersedia menjadi pembangkang jika PH terus memimpin negeri itu.

Dia juga berkata langkah berkenaan bukan bertujuan untuk merampas jawatan menteri besar, tetapi untuk mempertahankan institusi tradisional Negeri Sembilan.

Khairy memuji langkah ini dan menasihati Umno Negeri Sembilan untuk menghantar surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri bagi mengadakan sidang khas bagi membolehkan undi tidak percaya secara rasmi.

"Memandangkan PH tidak gemar pengisytiharan berkanun (trauma dari Perak, 2008) walaupun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa SD boleh diterima oleh Agong untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti dewan undangan, mereka harus cukup berani untuk menghadapi undi percaya," tambahnya.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2