malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hina Sultan: Dewan di-Raja Selangor mahu tindakan keras diambil
Diterbitkan:  Apr 27, 2026 5:36 PM
Dikemaskini: 9:36 AM
ADS

Dewan di-Raja Selangor hari ini mahu pihak berkuasa mengambil tindakan keras terhadap pihak yang terlibat membuat hantaran jelik terkait Sultan Sharafuddin Idris Shah seperti yang tular baru-baru ini.

Dalam kenyatan dikeluarkan istana Selangor petang ini, Dewan di-Raja Selangor berkata hantaran tersebut menghina baginda dan berkait rapat dengan isu penternakan babi di negeri tersebut.

Katanya tindakan provokasi serta biadab itu adalah penghinaan amat serius kepada institusi diraja dan boleh menggugat keharmonian rakyat berbilang kaum di Selangor.

Menurut Dewan di-Raja Selangor lagi, tindakan tersebut bukan saja melibatkan isu sensitif terhadap institusi istana malah suatu penghinaan serius terhadap raja-raja Melayu yang selama ini menjadi payung kepada kestabilan dan keharmonian negara.

"Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor sentiasa mengambil berat dan memandang serius isu yang melibatkan penghinaan institusi diraja di negeri ini dan mahukan tindakan keras diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab mengganggu ketenteraman masyarakat di Selangor

"Selain itu tindakan tegas juga perlu diambil oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi memastikan mereka yang terlibat diambil tindakan sewajarnya," kata badan itu lagi.

Sebelum ini Bukit Aman memberitahu mereka sudah menjalankan siasatan terhadap pemilik atau pentadbir akaun Facebook Huayan The Pureland Learning Centre.

Ia disiasat berhubung hantaran gambar menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata sebanyak 21 laporan diterima polis dan 21 saksi dipanggil untuk dirakam percakapannya.

Kumar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Memaklumkan mereka juga sudah membuat laporan polis, Dewan di-Raja Selangor berkata mereka juga mahu Kementerian Komunikasi memainkan peranan penting memastikan pengguna media sosial sentiasa beretika serta bertanggungjawab memuat naik sebarang hantaran.

Antara lain, kata dewan itu, kementerian terbabit perlu mempergiat usaha menyedarkan masyarakat tentang penggunaan media sosial yang berhemat serta berintegriti.

"Sebagai rakyat yang hidup dalam negara berbilang kaum dan majmuk, sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan perpaduan rakyat seharusnya ditolak sama sekali," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen