malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS, PKR bantah pesta air, muzik di KL
Diterbitkan:  Apr 24, 2026 1:12 PM
Dikemaskini: 5:18 AM
ADS

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan PKR Cabang Bukit Bintang membantah ‘pesta air’ dan muzik  ‘Rain Rave Water Music Festival 2026’ di Kuala Lumpur pada 30 April hingga 2 Mei. 

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata pihaknya menyatakan bantahan paling keras, tegas dan tanpa kompromi terhadap penganjuran program yang dijadualkan berlangsung di Bukit Bintang itu.

“Penganjuran festival ini bukan sekadar isu hiburan, tetapi mencerminkan krisis nilai, kegagalan kepekaan moral, serta kecelaruan keutamaan dalam negara.

“Ketika dunia menyaksikan pembunuhan beramai-ramai, penindasan dan penderitaan berpanjangan di Asia Barat, khususnya di bumi Palestin, penganjuran pesta hiburan berskala besar ini adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap rasa kemanusiaan dan solidariti ummah,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Azmer Syazwan Ahmad Suparmin

Dakwanya, festival berkenaan secara jelas mengangkat budaya hedonisme melampau yang lazimnya sinonim dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat, penyalahgunaan bahan terlarang dan hiburan tanpa batas.

“Ini bukan sekadar persepsi, ini adalah realiti yang telah berulang dalam festival-festival seumpamanya.

“Apakah ini acuan generasi yang ingin kita lahirkan? Malaysia bukan negara yang kosong daripada identiti. Islam adalah agama persekutuan. Namun, program seperti ini lebih-lebih lagi jika mendapat dukungan pihak tertentu menunjukkan kegagalan kepimpinan dalam memandu nilai masyarakat.

“Selain itu kelonggaran kawalan terhadap budaya songsang dan mengutamakan hiburan berbanding pembinaan insan. Ini bukan lagi soal industri pelancongan, ini soal jati diri negara,” katanya lagi.

Sehubungan itu Azmer berkata, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menuntut pembatalan serta-merta program tersebut dan penjelasan rasmi daripada pihak yang terlibat selain penetapan garis panduan hiburan lebih tegas dan patuh syariah.

Promosi pelancongan

Rain Rave Water Music Festival 2026 merupakan sebuah acara muzik yang mengetengahkan konsep unik yang menggabungkan muzik, air dan elemen hiburan moden.

Hujan dijadikan sebahagian daripada pengalaman festival, dengan persembahan muzik, pencahayaan dan suasana interaktif yang direka untuk memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung.

Acara ini akan menampilkan gabungan artis tempatan dan antarabangsa, di samping elemen budaya serta gaya hidup kontemporari. Ia bertujuan menjadikan festival sebagai platform hiburan moden yang juga mampu menarik pelancong luar negara.

Joe Flizzow, DJ Cza, Killa Driz, Mimi Fly, Dolla dan De Fam adalah bakat tempatan yang akan membuat persembahan. 

Joe Flizzow

Wujackers – kolaborasi baru antara duo Belanda Bassjackers dengan DJ Wukong dari Singapura – akan menjadi artis utama di peringkat antarabangsa. 

Turut membuat persembahan adalah barisan DJ wanita sepenuhnya yang merangkumi DJ MiJi dan DJ Yoyo dari China, DJ Loa dari Korea Selatan, DJ Lovezy dari Filipina, Moski Love dari Indonesia dan DJ Pixzy dari Thailand.

Selain hiburan, festival ini turut menjadi sebahagian daripada usaha mempromosikan sektor pelancongan negara.

Tourisme Malaysia dalam satu kenyataan sebelum ini turut memaklumkan program itu disokong dengan pelbagai inisiatif promosi termasuk tawaran penginapan hotel di seluruh negara bagi menggalakkan pergerakan pelancong domestik dan antarabangsa.

Bukit Bintang sendiri antara destinasi tumpuan pelancong di ibu kota.

Tutup jalan 

Dalam perkembangan sama Ketua PKR Cabang Bukit Bintang, Anwar Pawan Chik berkata penganjuran festival berkonsepkan hiburan bebas seperti ini tidak sesuai dengan norma, nilai serta budaya masyarakat Malaysia yang berteraskan kesopanan, keharmonian dan sensitiviti pelbagai kaum serta agama. 

“Program sebegini bukan sahaja berpotensi mencetuskan suasana yang tidak terkawal, malah boleh memberi kesan negatif terhadap akhlak, imej bandar raya dan kesejahteraan komuniti setempat.

“Lebih membimbangkan, tempoh penganjuran yang melibatkan penutupan jalan dan aktiviti selama 11 hari adalah satu tempoh yang keterlaluan dan tidak munasabah, serta menunjukkan kurangnya kepekaan terhadap kehidupan harian masyarakat bandar. 

“Tempoh yang panjang ini bukan sahaja memberi tekanan kepada pengguna jalan raya dan peniaga, malah berpotensi mengganggu ketenteraman awam secara berpanjangan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini mendapati penutupan jalan hanya dibuat selama tujuh hari.

Berdasarkan semakan di laman web Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCC), penutupan jalan dibuat secara berperingkat di Jalan Bukit Bintang berhadapan pusat beli belah  Pavilion Kuala Lumpur.

Bermula 22 Apr hingga hari ini dan 27 hingga 28 Apr, jalan ditutup pada jam 11 malam hingga lima pagi.

Bagi tarikh 25 Apr (esok) dan lusa, jalan akan ditutup pada jam 12 tengah malam ke pukul tujuh pagi.

Anwar turut menegaskan penganjuran acara hiburan berskala besar dan berlarutan sehingga lewat malam ini juga dilihat tidak mengambil kira sensitiviti agama Islam sebagai agama persekutuan, khususnya dari sudut pemeliharaan akhlak, batas pergaulan serta suasana sosial yang wajar dijaga di ruang awam.

Justeru pihaknya mendesak pihak kerajaan agar tidak meluluskan penganjuran program seumpama ini di Malaysia khususnya di Kuala Lumpur dan Bukit Bintang.

Katanya, kerajaan sepatutnya mengutamakan kesejahteraan masyarakat setempat berbanding kepentingan komersial dan menilai semula garis panduan kelulusan acara hiburan supaya lebih selari dengan nilai budaya dan sensitiviti agama negara.

“Selain itu, pelaksanaan acara ini yang melibatkan penutupan jalan utama akan memberi impak besar kepada kehidupan harian rakyat, termasuk gangguan serius kepada aliran trafik di kawasan tumpuan utama.

“Ia juga menjejaskan aktiviti ekonomi peniaga tempatan khususnya usahawan kecil, risiko terhadap keselamatan awam dan ketenteraman penduduk,” tambahnya.

Program berkenaan dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) sebagai salah satu pengisian Tahun Melawat Malaysia 2026.

Malaysiakini sedang cuma mendapatkan maklum balas Motac terhadap bantahan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen