Siasatan polis terhadap serangan seorang koperal ke atas rakan setugasnya, Amirul Raziq Rosafindi, di sebuah kem tentera di Bentong diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh susulan kematian mangsa pagi ini.
Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar berkata selepas pengesahan kematian mangsa berusia 24 tahun itu, siasatan telah ditukar daripada Seksyen 325 kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya permohonan untuk bedah siasat juga telah dikemukakan, dan pihak polis akan menyemak semula keterangan terdahulu serta merakam keterangan baru daripada saksi jika perlu.
Terdahulu hari ini, bapa Amirul, Rosafindi Tambi Chik mengesahkan anaknya meninggal dunia di sebuah hospital di Temerloh pada jam 9.45 pagi, sekitar 12 hari selepas kejadian serangan yang didakwa berlaku.
Pada 6 April, koperal Sukry Tasu, 37, mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan menyerang rakan setugas bulan lalu, dengan pertuduhan pertama difailkan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Amirul.
Serangan yang didakwa itu dipercayai berlaku di stor senjata Kompeni C, Kem Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja di Bentong pada jam 8.30 pagi, 30 Mac.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Majistret Bentong, Aiman Azahan menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi pertuduhan pertama, mengenakan syarat tambahan melarang tertuduh daripada menghampiri atau menghubungi mangsa sehingga kes selesai, serta menetapkan 18 Mei untuk penyerahan dokumen.
Bagi pertuduhan lain, Sukry didakwa mencederakan enam individu iaitu Atiqillah Taugek Rashidi, 21; Syakirin Yaacob, 20; Azman Shah Ismail, 22; Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, 19; Irfan Aiman Mohd Tajudin, 19; dan Danial Asraf Azizan, 22 — di lokasi sama sekitar jam 8.30 malam pada hari yang sama.
Enam pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh supaya tidak menghampiri atau menghubungi mangsa sehingga kes selesai.
Pada 1 April, polis mengesahkan penahanan suspek pada hari sebelumnya selepas menerima laporan polis yang dibuat oleh bapa salah seorang mangsa.
Zaiham berkata siasatan awal mendapati suspek didakwa memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan, manakala enam mangsa lain berada di tempat kejadian semasa insiden itu.
Mangsa yang dilaporkan rebah ketika diserang kemudiannya dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.
Rosafindi sebelum ini memberitahu New Straits Times bahawa Amirul mengalami kerosakan otak akibat kekurangan oksigen berpunca daripada henti jantung yang berpanjangan.
Tambahnya imbasan CT (CT scan) tidak menemui kecederaan dalaman, namun jantung anaknya didapati membengkak, dipercayai akibat prosedur CPR (bantuan pernafasan) yang berpanjangan.
Dalam perkembagan sama, Tentera Darat Malaysia mengesahkan jenazah Amirul akan menjalani bedah siasat sebagai sebahagian daripada prosedur perubatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.
Jenazah kemudiannya dijangka dibawa pulang ke Gemas untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Kelamah.

