Menjelang tamatnya penggal pentadbiran kerajaan Melaka penghujung tahun ini dan pilihan raya negeri (PRN) dijangka berlangsung, parti-parti komponan PN dilihat mengambil peluang mengadakan sambutan rumah terbuka Aidilfitri peringkat pusat di negeri itu.
PAS dijadualkan mengadakan program itu hari ini yang akan berlangsung di sebuah resort di Ayer Keroh.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Annuar Musa berkata, menu asam pedas tetel antara 26 hidangan yang akan disajikan kepada pengunjung.
"Pelbagai juadah menarik menanti anda seisi keluarga. Asam pedas tetal antara 26 menu istimewa menanti anda.
"Kami menantikan kehadiran seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama memeriahkan majlis ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam satu rakaman video mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia untuk hadir memeriahkan majlis dan mengeratkan silaturrahim.
Katanya, penganjuran itu juga bersempena Tahun Melawat Melaka 2026.
"Boleh kita melawat tempat-tempat bersejarah di Melaka," katanya.

Bersatu pula dijadualkan mengadakan program itu pada 17 April bertempat di Laman Dato' Mustafa Ton, Tanjung Kling.
Seorang pemimpin Bersatu yang enggan namanya disiarkan mengakui penganjuran majlis itu di negeri bersejarah berkenaan bagi menarik perhatian rakyat menjelang PRN akan datang.
Katanya, Melaka negeri yang paling awal dijangka berlangsungnya PRN mengikut tempoh penggal selepas PRN terakhir pada 2021.
“Jadi ini sebagai usaha kita dalam menyantuni rakyat Melaka dan Insya-Allah akan disusuli program lain selepas ini,” katanya.
Dalam PRN 2021, BN berjaya menguasai negeri itu selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala PH memenangani lima kerusi dan PN hanya meraih dua kerusi.
Penganalisis politik Prof Madya Mazlan Ali berkata, penganjuran rumah terbuka Aidilfitri oleh Bersatu dan PAS di Melaka itu boleh dianggap sebagai manifestasi bahawa mereka bersedia jika berlaku PRN pada tahun ini.
"Kenapa (anjur) di Melaka, dan tidak di negeri-negeri lain? Ini ertinya ia membawa manifestasi PAS dan Bersatu bersedia jika berlaku PRN Melaka. Kerana kalau kita lihat situasi di Melaka, ia akan berdepan PRN tahun ini, mengikut tempoh penggal DUN Melaka akan terbubar pada akhir tahun ini.
"Jadi sudah pasti PRN akan diadakan, rumah terbuka Aidilfitri itu kita boleh baca sebagai satu isyarat bahawa ia kemungkinan berkait dengan PRN.
"Di sini Bersatu dan PAS dilihat bersedia menyantuni rakyat untuk mendapat sokongan dan memberi saingan kepada BN dan PH," katanya untuk juga pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


