Sebuah tokong yang terukir kalimah ALLAH dan Bismillahirrahmanirrahim di Persisiran Pantai Siring di Jasin Melaka selesai dirobohkan pagi tadi.
MalaysiaGazette melaporkan sebuah agensi kerajaan negeri telah mengerahkan jentolak ke lokasi dan kerja-kerja perobohan yang bermula pada jam 10 pagi selesai dalam tempoh 30 minit.
Adun Serkam, Zaidi Attan berkata tindakan penguatkuasaan terhadap tapak berkenaan yang dibina di kawasan tanah rizab kerajaan dilaksanakan mengikut tatacara undang-undang hari ini.
Dia berkata tindakan itu diambil selepas semua bahan berkaitan aktiviti keagamaan dikeluarkan oleh pihak terlibat seperti yang dipersetujui.
"Perkara ini diputuskan hasil perbincangan antara wakil pemilik tanah, pemilik bangunan serta agensi terlibat yang diadakan semalam dan hari ini kita dapat sahkan semua bahan sembahan telah dikeluarkan sendiri oleh pihak berkenaan, sekali gus membolehkan tindakan lanjut dilaksanakan,” katanya dipetik Bernama.
Semalam, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Rahmad Mariman berkata pemeriksaan di sekitar kawasan tersebut mendapati tokong itu terletak di kawasan hutan paya bakau berdekatan pantai dan berada berhampiran tanah berpagar milik seorang individu.
Pemeriksaan awal mendapati binaan itu mungkin telah berada di situ sejak dua hingga tiga tahun lalu, namun kalimah tersebut hanya disedari pada hari laporan dibuat.

Rahmad berkata perbincangan telah diadakan dengan beberapa pihak, termasuk Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), pihak polis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung.
Dia berkata JAIM dan polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Pada Khamis lalu, media melaporkan penemuan binaan tokong batu yang tertera kalimah ALLAH dan Bismillahirrahmanirrahim dalam tulisan jawi di lokasi berkenaan oleh pemancing yang kemudian melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa pada malam Rabu.
Kerja perobohan sepatutnya dilaksanakan pada Khamis, namun ditangguhkan bagi memberi laluan kepada pemilik tokong melakukan pengosongan.


