Ahli perniagaan Victor Chin memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepadanya untuk memberi keterangan melalui Zoom dalam satu kes sivil, dengan alasan bimbang terhadap keselamatannya.
Menurut dua surat yang dikemukakan oleh peguamnya, Chin kini berada di luar negara dan bimbang dia akan dicederakan jika kembali ke Malaysia berikutan skandal "mafia korporat".
"Defendan pertama kini tidak berada di Malaysia, setelah meninggalkan bidang kuasa atas sebab-sebab kebimbangan serius terhadap keselamatan dirinya.
"Kebimbangan itu timbul daripada liputan media yang meluas dan serta dakwaan awam yang dibuat terhadapnya, yang telah meletakkannya dalam kedudukan di mana beliau secara munasabah berasa takut terhadap bahaya sekiranya beliau kembali buat masa ini," menurut surat pertama yang difailkan oleh firma guaman KH Wong & Co pada 8 April.
Firma itu mewakili Chin dan lapan defendan lain yang disaman oleh eksekutif penerbangan Gunasekar Mariappan dan Philip Phang berhubung percubaan MMAG Holdings Berhad untuk mengambil alih MJet Sdn Bhd.
Peguam Chin berkata ahli perniagaan itu bukan sahaja menafikan semua tuduhan terhadapnya, malah menegaskan bahawa dia juga merupakan mangsa "salah laku korporat yang lebih besar" yang kini sedang disiasat dan mendapat perhatian umum.
Mereka menambah ketiadaan Chin di dalam negara bukan untuk mengelakkan prosiding, sebaliknya satu langkah sementara demi keselamatan dirinya.
“Walau bagaimanapun, defendan pertama kekal komited untuk mengambil bahagian dalam semua prosiding mahkamah dan mematuhi segala arahan mahkamah yang mulia ini.
“Sehubungan itu, beliau bersedia dan berkeupayaan untuk menghadiri perbicaraan secara maya, serta memastikan prosiding ini diteruskan tanpa kelewatan yang tidak perlu,” jelasnya.

Firma guaman itu dalam surat kedua semalam turut melampirkan laporan polis yang difailkan bagi pihak Chin dan dua individu lain.
Laporan itu menyatakan bahawa Chin dan pihak lain bimbang akan keselamatan mereka berikutan satu saman sivil yang difailkan oleh Chin baru-baru ini terhadap pengasas Bestinet Sdn Bhd, Aminul Islam Abdul Nor, dan peguam N Sandraruben.
‘Percubaan larikan diri’
Sebagai maklum balas terhadap permohonan Chin, peguam Gunasekar dan Philip telah memfailkan surat untuk menyatakan "bantahan mereka dalam istilah yang paling tegas".
Peguam Kang Zhen Leong dari firma Alvin Tang Law Office berkata defendan mempunyai kemampuan untuk kembali ke Malaysia dan mendakwanya cuba mengelak daripada pihak berkuasa.
Dia turut menyatakan bahawa Chin merupakan salah seorang daripada 10 individu yang ditahan polis pada Disember 2025 berhubung sindiket pengubahan wang haram dan telah dibebaskan dengan jaminan polis, di mana dia perlu hadir apabila diminta oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
"Ia adalah juga jelas bahawa defendan pertama sedang mengelak daripada pulang ke Malaysia untuk mengelak daripada ditahan/ ditangkap oleh polis dan menghadapi pertuduhan jenayah berkenaan dengan penglibatannya dalam sindiket pengubahan wang haram dan juga satu sindiket yang digelar 'corporate media'.
"Oleh itu, sekiranya permohonan defendan pertama di sini dibenarkan oleh mahkamah yang mulia, ini adalah bersamaan dengan condoning kelakuan sengaja defendan pertama untuk mengelakkan diri daripada pihak berkuasa/ polis ," kata Kang dalam surat tersebut.

