malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Tak masuk akal tiga aktivis tangkap Azam Baki direman tiga hari'
ADS

Tiga aktivis belia yang ditahan kerana didakwa mengganggu ucapan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki semalam dikenakan perintah tahanan reman selama tiga hari.

Bagaimanapun, Sekretariat Tangkap Azam Baki menyifatkan penahanan itu sebagai cubaan pihak berkuasa mendiamkan aktivis antirasuah.

“Kami melihat penahanan ini taktik intimidasi kerajaan Madani dan penahanan reman tiga hari ini adalah tidak masuk akal,” kata jurucakapnya Alyaah Hani Anuar pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Alyaah berkata dia bimbang memandangkan salah seorang yang ditahan seorang mahasiswa di institut pengajian tunggi.

“Kami merasakan ini adalah satu taktik intimidasi dan satu bentuk pengkhianatan terhadap kebebasan bersuara,” tegasnya.

Majistret pagi tadi membenarkan perintah tahanan reman selama tiga hari terhadap Presiden Liga Demokratik, Hamidin Nordin, aktivis Liga Mahasiswa, Ahsanul Akmal Sulam, serta penyelaras Mandiri, Muhammad Fakrurrazzi Khairur Rijal.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186, 447 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Keempat-empat peruntukan undang-undang ini umumnya melibatkan gangguan terhadap penjawat awam, pencerobohan, provokasi dan ketenteraman awam, dengan hukuman maksimum antara denda ringan (RM100) hingga penjara dua tahun.

Semalam, ketiga-tiga aktivis berkenaan ditahan selepas mengangkat plakad bertulis “Tangkap Azam Baki” ketika ketua pesuruhjaya SPRM itu menyampaikan ucapan awam di Putra World Trade Centre.

Mereka telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sejak kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Rentetan beberapa siri protes sejak bulan-bulan lalu tercetus susulan dakwaan terhadap Azam, selepas Bloomberg dan Malaysiakini melaporkan dia didakwa memiliki pegangan saham besar dalam dua syarikat, melebihi had yang dibenarkan ke atas penjawat awam.

Dalam perkembangan berkaitan, Bloomberg turut menyiarkan laporan yang mendakwa wujud kerjasama antara pegawai kanan SPRM dengan pihak swasta bagi merancang pengambilalihan korporat terhadap syarikat pesaing, dengan pengetahuan serta sokongan Azam.

SPRM bagaimanapun menafikan semua dakwaan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen