Polis Johor akan memohon sambung reman terhadap tiga individu termasuk seorang remaja berusia 17 tahun bagi membantu siasatan kes penyebaran kandungan di TikTok yang mengandungi unsur hasutan, fitnah serta penghinaan terhadap agama Islam, institusi diraja Johor, Ketua Polis Johor dan Perdana Menteri.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata ketiga-tiga individu berusia antara 17 hingga 49 tahun itu direman selama empat hari bermula 31 Mac hingga esok.
“Reman terhadap ketiga-tiga individu akan tamat esok. Polis Johor akan membuat permohonan sambung reman esok.
“Permohonan itu bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati individu terbabit merupakan ahli keluarga terdiri daripada seorang wanita yang mengaku sebagai Ratu Nur Puteri Balqis, anaknya berusia 17 tahun serta abang wanita itu.
“Mereka tidak bekerja dan remaja terbabit tidak bersekolah. Setakat ini, polis akan mohon reman dalam tiga atau empat hari lagi, namun bergantung kepada mahkamah.
“Berhubung kesihatan mental individu berkenaan, saya tidak dapat mengesahkan statusnya. Selepas siasatan dijalankan, ia bergantung kepada arahan mahkamah sama ada mereka perlu dirujuk kepada jabatan psikiatrik hospital atau tidak.
“Setakat ini, polis mengesahkan tiada pengikut kepada ajaran individu terbabit,” katanya.
Pada Selasa lalu, tiga individu termasuk remaja berusia 17 tahun ditahan di Taman Saujana bagi membantu siasatan kes sama.
Ab Rahaman berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang mengesan video dimuat naik pemilik akaun “ratunurputeribalqis” yang didakwa mengandungi kenyataan fitnah pada Ahad lalu.
Antara kandungan hantaran itu termasuk dakwaan Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor serta Perdana Menteri mendapat nasihat daripada pemilik akaun berkenaan dalam penyediaan teks ucapan.
Selain itu, kandungan tersebut turut memaparkan dakwaan bahawa Sultan Johor menyimpan dokumen pengenalan diri pemilik akaun berkenaan bagi tujuan tertentu berkaitan ajaran yang dibawanya.
— Bernama

