malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KPDN perketat kawalan jualan RON95 mulai April
Diterbitkan:  Mar 28, 2026 1:36 PM
Dikemaskini: 5:36 AM
ADS

Mulai 1 April ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan strategi yang lebih agresif untuk menangani krisis daripada gangguan bekalan minyak global terkait konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.

Dalam kenyataan hari ini, KPDN menyatakan antara langkah yang akan diambil itu termasuk penguatkuasaan larangan penjualan atau pembelian RON95 ke atas kenderaan berpendaftaran asing.

Menurut KPDN, semua pemegang lesen stesen minyak di Malaysia Timur pula dikehendaki melaksanakan kawalan ke atas penjualan diesel kepada kenderaan pengangkutan darat.

Kawalan itu, katanya, akan berdasarkan kategori kenderaan, dalam kuantiti 50 liter, 100 liter, dan 150 liter bagi setiap transaksi.

"Langkah ini penting bagi memastikan bekalan minyak diesel yang dijual pada harga subsidi RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan atau sektor industri yang tidak layak," katanya.

Tambah KPDN, seramai 2,400 pegawai penguatkuasa kementerian itu berada dalam kesiapsiagaan tinggi di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan lapangan.

KPDN turut memberi amaran mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang cuba mengambil kesempatan daripada kesan konflik tersebut.

"Perbuatan menyeleweng subsidi negara adalah satu bentuk pengkhianatan kepada kepentingan rakyat dan negara. Tindakan penguatkuasaan paling tegas akan diambil tanpa sebarang toleransi," katanya.

Iran menyekat laluan di Selat Hormuz selepas AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas negara itu sejak 28 Feb lalu.

Langkah tersebut menyebabkan bekalan minyak dan gas global terjejas teruk, dengan pelbagai negara mengumumkan langkah penjimatan untuk memerangi lonjakan harga minyak.

Biasanya, kira-kira 3,000 kapal tangki berlayar melalui selat itu setiap bulan.

Sementara itu Astro Awani pula melaporkan penggunaan kad kredit dan kad debit asing di semua stesen minyak juga akan dihadkan secara berperingkat-peringkat bermula tarikh yang sama.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Azman Adam, berkata pengguna yang mempunyai kad kredit atau debit luar negara perlu membuat pembayaran di kaunter stesen minyak, bukannya di pam.

"KPDN sedang mengintegrasikan sistem pam minyak dengan pangkalan data identiti (MyKad) dan sistem perbankan.

"Selepas 1 April, sistem ini secara automatik akan menapis setiap transaksi," katanya.

Dia juga menjelaskan kaedah tersebut akan membantu pihak berkuasa memantau pengusaha stesen minyak agar mereka sentiasa mematuhi setiap peraturan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen