Sarawak masih menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN).
Speaker DUN Sarawak Mohamad Asfia Awang Nasar berkata walaupun cadangan penambahan kerusi tersebut sudah diluluskan oleh DUN, SPR perlu menyediakan laporannya berdasarkan kajian di peringkat lapangan sebelum cadangan persempadanan semula itu dapat diteruskan ke peringkat seterusnya.

“Belum ada laporan daripada SPR sama ada 17 DUN baharu itu telah diluluskan... Buat masa ini, kami tunggu pengesahan daripada SPR - selepas itu, (laporan) akan dipamerkan (untuk bantahan jika ada) dan kemudian dibentangkan di Parlimen.
“Di peringkat DUN, kelulusan telah pun dibuat. Kini, ia menjadi tanggungjawab SPR untuk menjalankan kajian dan proses persempadanan semula di peringkat akar umbi,” kata Asfia seperti yang dipetik oleh The Borneo Post semalam.
Pada Julai tahun lalu, DUN Sarawak meluluskan rang undang-undang untuk menambah bilangan kerusi negerinya daripada 82 kepada 99.
Pada 8 Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud berkata dia berharap SPR dapat mempercepatkan kajiannya mengenai cadangan Sarawak.
SPR mesti menyelesaikan proses persempadanan semula menjelang 14 Julai 2027.

Sambil menegaskan kawasan pilihan raya baharu itu boleh dilaksanakan pada pilihan raya umum akan datang jika proses itu selesai tepat pada masanya, Asfia semalam menekankan bahawa usaha persempadanan semula perlu mengambil kira faktor geografi serta keluasan kawasan.
“Sebagai contoh, kawasan Parlimen Bintulu merupakan antara yang terbesar di Sarawak merangkumi empat kawasan DUN dengan hampir 120,000 pengundi," katanya dan menambah kawasan ini wajar dipecahkan kepada dua kawasan Parlimen.
Dia turut menggambarkan cabaran geografi negeri termasuk perjalanan ke kawasan pedalaman seperti Ba’kelalan dari Kuching yang memerlukan transit di Kota Kinabalu selain pemantauan ke kawasan Hulu Rajang yang memerlukan sehingga empat kali pengisian semula bahan api helikopter.
“Adalah mustahil bagi seorang Ahli Parlimen untuk menjaga kawasan yang terlalu luas dengan berkesan,” katanya.

