malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jangan kurang ajar, melampau - Agong beri amaran isu sensitiviti rakyat
Diterbitkan:  Mar 21, 2026 10:08 AM
Dikemaskini: 2:08 AM
ADS

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan amaran keras terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat perpaduan nasional, sambil menegaskan bahawa sebarang anasir yang mengancam keharmonian rakyat mesti dibanteras tanpa kompromi.

Menerusi Perutusan Aidilfitri 2026 yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Baginda hari ini, Seri Paduka Baginda mengulangi teguran yang pernah dizahirkan tahun lalu, namun menyifatkan peringatan tersebut seolah-olah telah dilupakan atau sengaja tidak diendahkan oleh segelintir pihak.

“Ia bukan sekadar tindakan undang-undang atau perbincangan antara pemimpin masyarakat ketika timbulnya guris hati dan amaran, tetapi juga dalam penerapan amalan peradaban seharian dalam kalangan rakyat, ia mesti dipupuk serta sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa,” titah Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda juga mengingatkan rakyat agar kembali menghayati lima prinsip Rukun Negara, terutamanya prinsip Kesopanan dan Kesusilaan.

“Di manakah kekurangan kita mendidik rakyat berkenaan perkara asas adab ini hingga ada yang begitu beracun dan kurang ajar sudut pandang serta kelakuannya hingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat?” soal Seri Paduka Baginda.

Titah Sultan Ibrahim, bahawa keharmonian kaum bukan sekadar soal tindakan undang-undang atau perbincangan di peringkat pemimpin semata-mata apabila berlaku ketegangan.

"Ia mesti melibatkan penerapan amalan peradaban seharian dalam kalangan rakyat. Adab ini perlu dipupuk dan diingatkan dari semasa ke semasa," titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim turut merujuk kepada beberapa siri insiden yang mengguris hati rakyat sebelum ini, antaranya:

  • Isu stokin tertera kalimah Allah.

  • Bendera negara yang dikibarkan terbalik.

  • Perbuatan menghina serta memijak kitab suci Al-Quran.

  • Kelakuan tidak beradab di rumah ibadat.

  • Gejala "mulut dan jari celupar" di media sosial yang mengapi-apikan kebencian.

"Kita tidak boleh terima orang yang kurang ajar, sama ada antara kaum yang berbeza mahupun dalam kalangan kaum itu sendiri," titah Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda percaya majoriti rakyat Malaysia adalah individu yang beradab dan tahu membawa diri. Oleh itu, suara golongan majoriti ini perlu lebih dominan untuk mendiamkan kelompok kecil yang tidak beradab.

Selain itu, Sultan Ibrahim menitahkan agar pihak berkuasa menguruskan isu-isu sensitif dengan:

  • Berhemah: Mengambil kira semua aspek agar tiada ruang untuk kesilapan.

  • Tegas dan Tepat: Memastikan tindakan yang diambil adalah benar bagi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negara.

Sempena sambutan Aidilfitri, Seri Paduka Baginda turut mengajak umat Islam mendoakan kesejahteraan saudara seagama yang tertindas di seluruh dunia serta tidak melupakan golongan kurang bernasib baik di tanah air.

Di hujung perutusan, Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, mendoakan agar Malaysia terus dilindungi daripada musibah dan dikurniakan kemakmuran yang berpanjangan.

Baginda turut menitipkan pesanan ringkas agar rakyat sentiasa berhati-hati di jalan raya dan menjaga kesihatan dengan makan secara berhemah sepanjang musim perayaan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen