Chuck Norris, pakar seni bela diri Amerika Syarikat dan bintang aksi Hollywood yang paling terkenal melalui wataknya dalam Walker, Texas Ranger, meninggal dunia, kata keluarganya pada Jumaat (20 Mac), lapor AFP.
Dia berusia 86 tahun.
"Dengan hati yang berat, keluarga kami berkongsi berita tentang pemergian mengejut Chuck Norris yang tersayang pada pagi semalam," kata keluarganya dalam satu kenyataan di Instagram.
"Bagi dunia, dia merupakan seorang pakar seni bela diri, pelakon, dan simbol kekuatan. Bagi kami, dia merupakan suami yang setia, bapa dan datuk yang penyayang, abang yang luar biasa, serta nadi keluarga kami."
Menurut kenyataan keluarga, Norris menghembuskan nafas terakhir pada pagi semalam selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Hawaii sehari sebelumnya.
Media tempatan melaporkan, Norris dimasukkan ke hospital pada Khamis ketika berada di pulau Kauai, beberapa hari selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-86 dengan memuat naik video dirinya bertinju di media sosial.
Bagaimanapun, keluarganya memaklumkan butiran lanjut mengenai kematian itu tidak akan didedahkan.

