malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Malaysia perlu percepat peralihan daripada bahan api fosil - pakar
ADS

Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai sumber tenaga utama dengan mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, termasuk tenaga solar dan hidro.

Saranan itu dibangkitkan semula di tengah-tengah konflik terbaru di Asia Barat yang mengganggu bekalan minyak global dan kenaikan harga — risiko yang menurut pakar boleh dikurangkan oleh Malaysia.

Bimbang dengan lonjakan harga petrol, kerajaan semalam mengumumkan bahawa Putrajaya akan melaksanakan langkah penjimatan kos, termasuk mengehadkan perjalanan ke luar negara bagi pegawai kerajaan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga mengumumkan pembatalan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri oleh agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ahli ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Barjoyai Bardai, menyatakan bahawa krisis terbaru di Asia Barat menyerlahkan kelemahan Malaysia akibat kebergantungannya kepada bahan api fosil yang diimport.

“Konflik yang berterusan di Timur Tengah telah menunjukkan dengan jelas bahawa kebergantungan Malaysia kepada bahan api fosil yang diimport meletakkan negara pada risiko ekonomi dan strategik yang tinggi,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, situasi ini menunjukkan kerajaan perlu mempercepatkan garis masa dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang sebelum ini menetapkan sasaran menjelang tahun 2050.

“Mempercepatkan NETR akan mengurangkan kerentanan negara terhadap kejutan harga minyak global, mengukuhkan daya tahan ekonomi, dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju tenaga bersih di peringkat serantau,” katanya.

Jelasnya, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui juga akan melindungi isi rumah dan industri daripada lonjakan harga tenaga pada masa hadapan, serta meningkatkan kemampanan selaras dengan matlamat pembangunan mampan.

“Dengan tahap gangguan tenaga global yang serius, seruan untuk memendekkan garis masa 2050, atau sekurang-kurangnya mempercepatkan pencapaian sasaran jangka pendek, kini lebih kukuh berbanding sebelum ini,” tambahnya.

Pada 28 Februari, perang tercetus di Iran susulan serangan mengejut oleh Israel dan Amerika Syarikat, yang mengakibatkan harga minyak melonjak sehingga melepasi paras AS$100 (RM392) setong pada 9 Mac.

Bekalan minyak global kini berdepan gangguan besar susulan tindakan Iran menutup Selat Hormuz, laluan keluar kira-kira satu perlima minyak dan gas dunia setiap tahun.

Lebih 40 peratus import minyak mentah Malaysia datang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, di mana bekalan telah terjejas berikutan ancaman Iran untuk menyerang mana-mana kapal yang cuba melalui laluan selat tersebut.

Sumber tenaga boleh diperbaharui yang rendah

Menurut NETR yang dilancarkan pada 2023, bahan api fosil masih mendominasi bekalan tenaga utama Malaysia.

Sehingga tahun 2020, gas asli merupakan bahagian terbesar iaitu 42.4 peratus, diikuti minyak mentah dan produk petroleum (27.3 peratus) serta arang batu (26.4 peratus).

Sumber boleh diperbaharui yang terdiri daripada tenaga hidro, solar dan bioenergi hanya menyumbang sebanyak 3.9 peratus.

Pelan peralihan itu bertujuan meningkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui kepada gabungan 70 peratus menjelang 2050, mengurangkan kebergantungan kepada minyak dan hampir sepenuhnya meninggalkan penggunaan arang batu, dengan gas asli berfungsi sebagai bahan api peralihan.

Barjoyai berkata sasaran NETR, termasuk meningkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui kepada 40 peratus menjelang 2035, perlu dipercepatkan antara lima hingga 10 tahun, dengan pelaksanaan fasa awal yang agresif bermula tahun ini hingga 2035.

“Taman tenaga solar berskala besar, projek solar terapung di empangan hidro, serta projek ‘zon tenaga boleh diperbaharui’ perlu dipercepatkan melalui proses kelulusan yang dipermudah serta insentif pelaburan yang dipertingkatkan.

“Negara juga mesti membina sistem grid tenaga yang lebih pintar dan fleksibel dengan sistem penyimpanan tenaga bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik serta menjadikan Malaysia kurang bergantung kepada bahan api fosil yang diimport,” tambah ahli ekonomi itu.

Dia juga berkata hab hidrogen dan kluster bioenergi perlu dipercepatkan bagi mempelbagaikan bekalan tenaga serta menyokong proses penyahkarbonan industri.

“NETR menawarkan laluan yang komprehensif ke arah daya tahan — tetapi garis masanya perlu disesuaikan.

“Kita mesti mempercepatkan NETR untuk melindungi ekonomi, mengukuhkan kebebasan tenaga, dan meletakkan diri sebagai peneraju serantau dalam peralihan hijau.

“Kos untuk tidak bertindak jauh lebih besar daripada kos peralihan,” tegas Barjoyai.

Bahan api peralihan

Seorang lagi ahli ekonomi, Ahamed Kameel Mydin Meera, berpendapat bahawa negara perlu meningkatkan penggunaan gas asli cecair (LNG) sementara beralih kepada tenaga boleh diperbaharui.

Jelasnya, ini kerana, sebagai pengeksport LNG, negara mempunyai bekalan bahan api itu yang mencukupi.

Jika industri tempatan dapat menggunakan LNG sebagai sumber tenaga utama, Kameel berpendapat ia boleh menjadikan ekonomi kurang terdedah kepada risiko kejutan sumber tenaga luar.

Ahli ekonomi itu juga menyokong rancangan untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui, khususnya tenaga solar, yang menurutnya merupakan alternatif yang baik.

“Terletak di garisan khatulistiwa, kadar sinaran matahari di Malaysia sangat baik, terutamanya di kawasan utara.

“Terdapat kekurangan usaha pemasaran berskala besar untuk pemasangan panel solar di bumbung rumah dan industri.

“Selain itu, biojisim kelapa sawit juga merupakan satu lagi sumber berpotensi memandangkan kita juga merupakan pengeluar utama minyak sawit,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen