Peguam Mahajoth Singh menggesa supaya Seksyen 36 Akta SPRM, yang mewajibkan individu yang menerima notis di bawah peruntukan undang-undang itu mengisytiharkan semua aset mereka, turut terpakai ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Azam Baki.
Mahajoth berkata peruntukan tersebut, yang tidak mengandungi sebarang pengecualian, perlu diterapkan kepada ketua SPRM itu.
“Jika Seksyen 36 tidak boleh dikuatkuasakan kerana individu berkenaan masih mengetuai pihak berkuasa penguat kuasa, maka perlindungan statutori itu menjadi tidak bermakna.
“Tiada sebarang peruntukan dalam Akta SPRM 2009 yang mengecualikan ketua pesuruhjaya daripada tertakluk kepada Seksyen 36. Jika Seksyen 36 terpakai kepada rakyat biasa, penjawat awam dan pegawai kerajaan, maka ia mesti terpakai sama rata kepada Azam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seksyen 36 ialah peruntukan yang digunakan SPRM untuk mewajibkan pengisytiharan harta Allahyarham Daim Zainuddin dan isterinya Na'imah Khalid sebelum ini.
Daim dan Na’imah kemudian didakwa kerana tidak mematuhi arahan tersebut.
Saham jutaan Ringgit
Azam kini disiasat sebuah jawatankuasa khas berhubung portfolio pegangan sahamnya serta dakwaan ketidakpatuhan terhadap peraturan perkhidmatan awam.

Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendedahkan bahawa Azam pernah memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan kira-kira 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.
Saham Velocity Capital Partner dipercayai dibeli pada harga sekitar RM1.5 juta, manakala saham Awanbiru dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta hingga RM1.38 juta pada satu ketika.
Tidak jelas sama ada Seksyen 36 Akta SPRM telah digunakan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap isu pemilikan saham Azam — satu perkara yang menurut Mahajoth perlu diperjelaskan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Dia juga menggesa Anwar menjelaskan peruntukan undang-undang apakah yang diguna pakai untuk membolehkan Azam terus berkhidmat sebagai ketua SPRM.

Azam pula enggan bercuti sementara menunggu siasatan selesai.
Skandal mengenai pemilikan saham itu hanyalah salah satu daripada beberapa isu yang sedang melanda SPRM ketika ini.
Dua minggu lalu, Bloomberg menerbitkan laporan yang mendakwa pegawai SPRM bersekongkol dengan individu untuk memeras pesaing perniagaan - dengan Azam didakwa mengetahui perkara tersebut.
Kerajaan setakat ini tidak mengambil sebarang tindakan terhadap dakwaan pakatan sulit itu walaupun terdapat gesaan daripada ahli parlimen dan masyarakat sivil supaya satu suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi menyiasat SPRM.

