malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM tahan Exco Terengganu disyaki salah guna kuasa pada 2018, 2020
Diterbitkan:  Feb 22, 2026 1:07 PM
Dikemaskini: 8:00 AM
ADS
1

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang exco kerajaan negeri pagi ini kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPRM, suspek yang tidak didedahkan namanya, dipercayai menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan kedua-dua anaknya untuk diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan di negeri itu.

"Suspek lelaki berusia lingkungan 60-an telah ditahan kira-kira jam 11.15 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2018 dan 2020," menurut kenyataan itu.

Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan tersebut. Menruutnya kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dituduh dalam masa terdekat.

Seksyen berkenaan adalah berkaitan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan oleh pegawai badan awam untuk mendapatkan suapan bagi diri sendiri, saudara, atau sekutu. Hukuman bagi kesalahan ini ialah penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Menteri Besar Terengganu untuk mendapatkan komen.

‘Mengapa selepas enam tahun?’

Sementara itu Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari, menimbulkan persoalan mengapa sekarang dakwaan itu ditimbulkan iaitu selepas enam dan lapan tahun.

Katanya, PAS menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan dalam negara yang berpegang kepada kedaulatan undang-undang, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

"Namun begitu, kita tidak dapat menyembunyikan rasa pelik. Kes yang didakwa berlaku pada tahun 2018 dan 2020 sebelum ini senyap tanpa sebarang keputusan yang jelas, tetapi tiba-tiba digerakkan untuk pendakwaan pada waktu ini.

"Jadi adakah selama enam tahun ini dari tahun 2020 sehingga 2026, SPRM tidak mendapati sebarang perkembangan baru dan tiba-tiba menjumpainya hari ini?

Menurutnya, dalam suasana sebegini, tindakan terhadap wakil PAS yang selama ini dikenali bersih daripada rasuah pastinya menimbulkan persepsi awam bahawa ada agenda tertentu di sebaliknya.

Kita menjangkakan selepas ini mungkin akan muncul lagi kes-kes seumpama ini. Apa pun, kita kekal tenang dan serahkan kepada proses mahkamah.

Exco berkenaan tidak perlu letak jawatan kerana tugasnya hanya sebagai exco kerajaan negeri tidak boleh mempengaruhi siasatan SPRM dalam apa jua keadaan sekalipun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1