Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, akan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang, tetapi berkemungkinan besar bukan sebagai ahli PKR.
Bagaimanapun, ahli politik kelahiran Besut, Terengganu itu merahsiakan bagaimana cara dia akan bertanding di kerusi itu.
"Saya rasa saya tidak akan bertanding sebagai calon PKR. Saya tetap akan bertanding di Pandan, itu sudah saya putuskan… Bagaimana cara saya bertanding di Pandan, saya rasa itu rahsia," katanya sambil tertawa dalam satu temu bual bersama Sin Chew Daily.
Rafizi menjangkakan pertandingan sengit di kerusi berkenaan namun menegaskan matlamatnya adalah untuk mengekalkan politik progresif berbilang kaum serta melakukan perubahan politik, dan bukan menang semata-mata.
Rafizi semakin berpatah arang daripada PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti itu tahun lalu.
Dia kemudiannya menjadi pengkritik tegar terhadap presiden PKR yang juga Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam wawancara dengan Sin Chew, Rafizi menegaskan bahawa PKR bukan lagi 'rumah' baginya kerana parti itu berubah selepas Anwar menjadi perdana menteri. Katanya Anwar mahu PKR mengikut kehendaknya tetapi pada masa sama sibuk mendapatkan sokongan daripada Umno dan GPS untuk memastikan dia terus kekal berkuasa.
Rafizi berkata faktor utama yang menghalangnya meninggalkan PKR sekarang ialah undang-undang antilompat parti, yang akan menyebabkan pengundinya kehilangan wakil rakyat jika dia keluar parti.
Parlimen telah melepasi tarikh akhir untuk mengadakan sebarang pilihan raya kecil pada Disember tahun lalu.
Tiada parti sesuai
Dalam pada itu Rafizi berkata tiada mana-mana parti di negara ini yang boleh menerima ahli politik bebas dan tegas sepertinya.
Malah secara berseloroh dia mengatakan bahawa mana-mana parti pun mungkin "takut" menerima dia dan rakan-rakannya yang lain.
Rafizi juga menolak kemungkinan menubuhkan parti bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin kerana kedua-duanya mempunyai gaya dan matlamat berbeza.
"Kalau letakkan kami dalam bilik yang sama, kami akan bergaduh pasal ke mana nak pergi," kata bekas menteri ekonomi itu.

Rafizi berkata Khairy ialah tokoh yang percaya perubahan boleh dibuat melalui kerajaan, manakala dirinya pula yakin boleh memberi impak walaupun sebagai aktivis atau ahli pembangkang.
Penyokong Rafizi dalam PKR termasuk Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, Wong Chen (Subang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), S Kesavan (Sungai Siput), Tan Kar Hing (Gopeng) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).
Menteri Chang Lih Kang dan Akmal Nasir juga rapat dengan Rafizi, begitu juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Terdapat spekulasi bahawa PKR bakal mengambil tindakan disiplin terhadap Rafizi berhubung kritikannya terhadap Anwar.

Rafizi turut mendakwa kerajaan menggunakan SPRM untuk menakut-nakutinya.
Pada masa ini, bekas menteri ekonomi itu sedang disiasat dalam dua kes berasingan. Kes pertama melibatkan perjanjian kerajaan dengan syarikat semikonduktor British, Arm Holdings, di mana dia didakwa mempercepatkan persetujuan yang didakwa menelan kos RM1.1 bilion.
Tuduhan kedua berkaitan projek tenaga solar berskala besar oleh UEM Lestra, di mana dia didakwa mengarahkan kontrak bernilai RM2.5 bilion kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengannya.

