Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari menggesa kerajaan memberikan ganjaran yang tinggi kepada keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Truper K Indiran, yang meninggal dunia pada Khamis lalu selepas pengsan ketika menjalani latihan di Kuantan, Pahang.
Ahli Parlimen PAS itu berkata keluarga tersebut kehilangan dua ahli keluarga dalam tempoh sedekad demi berkhidmat untuk negara.
Fadhli merujuk kepada mendiang bapa Indiran, Mejar C Kayamboo, seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada tahun 2016.
"Ini pengorbanan besar yang sepatutnya dibalas dengan penghargaan setimpal daripada kerajaan. Saya berpandangan kerajaan perlu tampil lebih proaktif dan bermakna dalam menghargai keluarga mendiang.
"Bantuan yang menyeluruh, pengiktirafan rasmi yang sewajarnya serta jaminan kebajikan jangka panjang kepada ibu mendiang, Puan S Usha, amat wajar dipertimbangkan.
"Beliau bukan sekadar kehilangan suami, tetapi kini juga seorang anak yang gugur ketika sedang berkhidmat untuk negara," katanya dalam satu kenyataan.
Tuntut penjelasan telus
Selain itu, Ketua Penerangan PAS itu turut meminta kerajaan memberikan penjelasan telus berhubung kematian anggota tentera berusia 22 tahun itu, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Indiran dikejarkan ke hospital sehari sebelumnya selepas pengsan semasa menjalani latihan di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja di Kuantan.
"Setiap anggota yang menyarung uniform negara berhak berada dalam persekitaran latihan yang paling selamat.
"Ketelusan siasatan penting bukan sahaja demi keadilan kepada keluarga, tetapi juga untuk memastikan keyakinan terhadap institusi pertahanan negara terus terpelihara," katanya lagi.
Pemimpin PAS itu berkata mereka berharap laporan bedah siasat penuh terhadap mendiang akan membuktikan tiada unsur buli atau penderaan membabitkan kematian anggota tersebut.
Bapa Indiran, Kayamboo, terkorban pada usia 45 tahun apabila pesawat Beechcraft B200T yang dipandunya terhempas di Pangkalan Udara Butterworth pada 21 Disember 2016.
Tiga lagi kru alam pesawat tersebut — Kapten Wai Lik (26), Leftenan Hamid Hanafi (26), dan Sarjan Mohd Sofi Azizan (29) — mengalami kecederaan.
Ibu Indiran, Usha, pada mulanya melahirkan keraguan terhadap insiden tersebut dan mahukan jawapan mengenai punca sebenar kematian anaknya.
Bagaimanapun, dia kemudiannya menolak dakwaan bahawa kematian anaknya berpunca daripada buli semasa latihan, memandangkan laporan bedah siasat mendapati tiada kecederaan fizikal pada tubuh Indiran.
Usha juga dilaporkan mengakui berasa berbelah bahagi sekiranya ada anak-anaknya yang lain berhasrat untuk menyertai pasukan keselamatan atau perkhidmatan beruniform susulan kematian kedua ahli keluarganya itu.
Ini memandangkan anak ketiganya, Sarvien (17), kini sedang menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Polis Diraja Malaysia di Kulim, Kedah.
"Perasaan saya kini 50-50. Kerana sudah dua kali tragedi menimpa hidup saya. Trauma itu benar. Jika dia (Sarvien) mahu (menyertai pasukan keselamatan), saya tidak boleh kata apa-apa. Sama seperti Indiran. Saya pernah memberitahunya supaya tidak menyertai tentera, tetapi dia tetap mahu.
"Jika anda tanya apa yang saya mahu sekarang, saya mahu anak saya kembali hidup. Tetapi itu tidak mungkin, bukan? Apa yang boleh kami lakukan sekarang adalah melepaskannya pergi dengan tenang," katanya.

