malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Trump akan tingkatkan tarif global kepada 15% susulan keputusan mahkamah agung AS
ADS

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan menaikkan tarif global kepada 15 peratus daripada 10 peratus susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan kebanyakan langkah perdagangan yang diperkenalkannya sebelum ini.

Menurut Trump menerusi akaun Truth Social pada Sabtu, kenaikan itu iaitu di bawah Seksyen 122 akan berkuat kuasa serta-merta dan sebagai tambahan kepada tarif sedia ada.

“Saya, selaku Presiden AS, berkuat kuasa serta-merta, akan menaikkan tarif seluruh dunia sebanyak 10 peratus ke atas negara-negara, yang kebanyakannya telah “mengambil kesempatan” terhadap AS selama beberapa dekad, tanpa AS bertindak balas terhadap situasi itu (sehingga saya memegang jawatan presiden!), kepada 15 peratus yang dibenarkan, dan sah dari segi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata pentadbiran Trump akan menentukan dan memaklumkan tarif baharu yang dibenarkan di sisi undang-undang.

Pada Jumaat, Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa penggunaan kuasa darurat oleh presiden itu untuk mengenakan tarif yang digelar sebagai timbal balas terhadap hampir semua rakan dagang AS adalah tidak berperlembagaan.

Sambil mengekalkan keputusan mahkamah rendah, mahkamah tertinggi itu turut memutuskan bahawa Trump melangkaui kuasa presidennya apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 untuk mengenakan tarif global secara meluas, selain duti berkaitan fentanyl yang dikenakan ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico.

Keputusan untuk membatalkan sebahagian besar daripada tarif yang diperkenalkan Trump itu dinyatakan dalam dokumen setebal 170 muka surat.

Sehubungan itu, Trump kemudiannya berkata beliau telah menandatangani dokumen yang mengenakan tarif 10 peratus ke atas semua import daripada setiap negara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen