Riza Chalid, 'saudagar minyak' Indonesia yang dikehendaki dalam siasatan rasuah, dilaporkan keluar masuk Malaysia berbelas kali hingga Mac tahun lalu.
Satu sumber yang arif mengenai hal ehwal imigresen di Malaysia memberitahu Malaysiakini bahawa tiada rekod menunjukkan dia meninggalkan negara ini sejak kemasukan terakhirnya.
Pendedahan itu dibuat selepas Malaysiakini memperoleh maklumat pasport yang dipercayai milik Riza, yang dikeluarkan oleh Pejabat Imigresen Jakarta Selatan pada 27 Mei 2022.
Dokumen tersebut pada asalnya dijadual tamat tempoh pada 27 Mei tahun depan, namun pihak berkuasa Indonesia membatalkannya pada 11 Julai tahun lalu — hari yang sama pendakwa raya negara itu menamakan dia sebagai suspek dalam kes rasuah melibatkan syarikat minyak dan gas milik republik tersebut, Pertamina.
Berdasarkan nombor pasport itu, sumber berkenaan mendedahkan bahawa Riza telah masuk dan keluar Malaysia sekurang-kurangnya 13 kali sejak Ogos 2024.
Dia kali terakhir memasuki Malaysia menggunakan pasport itu pada 18 Mac, tanpa sebarang rekod keluar dari negara ini, walaupun peraturan menetapkan rakyat Indonesia yang masuk ke Malaysia dengan visa pelancong hanya dibenarkan tinggal sehingga 30 hari.
Tidak jelas sama ada Riza memiliki sebarang permit lain untuk kekal di Malaysia, seperti pas ekspatriat atau status pemastautin tetap, yang juga akan terbatal apabila pasportnya dibatalkan.
Riza dikatakan pemilik benefisial PT Tangki Merak dan PT Orbit Terminal Merak. Dia dituduh mengaut keuntungan daripada perjanjian sewaan penyimpanan bahan api yang dinaikkan secara melampau.
Seramai 17 individu, termasuk bekas dan eksekutif Pertamina, telah ditahan berkaitan kes itu, yang dilaporkan menyebabkan kerugian sebanyak 286 trilion rupiah (RM67.2 bilion).
Sebelum ini, kumpulan antirasuah Indonesia, Masyarakat Anti-Korupsi Indonesia (Maki), menimbulkan syak bahawa Riza masih berada di Malaysia sementara menunggu pelaksanaan notis merah Interpol dan proses pengusiran.
Notis merah Interpol ialah “permintaan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia untuk mengesan dan menahan sementara seseorang individu sementara menunggu ekstradisi, penyerahan, atau tindakan undang-undang seumpamanya”, berdasarkan waran tangkap atau perintah mahkamah yang dikeluarkan oleh pihak kehakiman negara pemohon.
Dihubungi hari ini, Boyamin berkata pergerakan Riza yang didakwa itu menguatkan lagi syak tentang lokasi semasanya.
“Saya masih percaya dia berada di Malaysia kerana hubungannya di negara ini,” kata Boyamin, yang dalam surat terbuka kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto tahun lalu menggesa pemimpin itu mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya membawa pulang Riza.
Dalam suratnya, Boyamin mendakwa Riza berkahwin dengan kerabat diraja dari sama ada negeri utara atau selatan Malaysia, dan hari ini dia menambah bahawa hubungan itu menjadi antara faktor yang menyumbang kepada perpindahan bilionair itu ke sini.
Ketika itu, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan rasmi dengan Prabowo di Jakarta, dan apabila ditanya media Indonesia, dia menegaskan Malaysia tidak akan campur tangan dalam proses undang-undang yang sedang berjalan terhadap Riza dan walaupun dia mengenali taikun minyak itu, dia tidak mengetahui lokasi keberadaannya.
“Anwar tidak pernah menafikan mengenali Riza,” tambah Boyamin hari ini.
Disember lalu, Menteri Imigrasi dan Pemasyarakatan Indonesia, Agus Andrianto dilaporkan berkata kediaman terakhir Riza yang diketahui adalah di Malaysia.
Pada 2 Feb, agensi berita Indonesia Antara memetik Setiausaha Biro Nasional Interpol Indonesia, Untung Widyatmoko, sebagai berkata notis merah terhadap Riza telah dikeluarkan kepada 190 negara pada 23 Jan.
Untung juga berkata satu pasukan polis Indonesia telah dihantar ke negara yang berkenaan, namun sejak itu tiada maklumat terkini dilaporkan.

