Pengerusi Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menamakannya secara jelas atau menarik balik tuduhan berhubung dakwaan mencetuskan ketegangan kaum.
Waytha Moorthy merujuk laporan media hari ini yang memetik Anwar sebagai menuduh seorang bekas menteri membuat dakwaan palsu bahawa penganut Hindu di Malaysia tidak dibenarkan mengamalkan agama mereka dan ada yang “dibunuh dalam tahanan”.
“Berdasarkan konteks dan kandungan kenyataan perdana menteri tersebut, insinuasi yang jelas adalah bahawa saya merupakan bekas menteri yang dimaksudkan.
“Jika itu keadaannya, maka perdana menteri telah melampaui satu garis yang sangat serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberikan tempoh 48 jam kepada Anwar untuk memberikan jawapan sama ada dia adalah individu yang dirujuk dalam ucapan tersebut.
Anwar dalam perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan antaranya berkata terdapat puak melampau dalam perbincangan isu kuil.
“Ada orang yang pernah jadi menteri pun, dan keluarkan kenyataan yang keterlaluan.
“Umpamanya tuduhan bahawa orang Hindu tidak dapat mengamalkan agama mereka di Malaysia.
“Kemudian disebut di antara lain bagaimana orang-orang Hindu dibunuh semasa dalam tahanan,” dakwanya.
Implikasi undang-undang
Waytha Moorthy menyifatkan tuduhan tersebut sebagai perkara serius yang melibatkan dakwaan hasutan perkauman dan “penganiayaan agama” yang boleh menggugat keselamatan negara.
Katanya, sekiranya dakwaan Anwar itu benar, ia merupakan kesalahan jenayah yang sepatutnya membawa kepada siasatan dan pendakwaan segera oleh pihak polis.
"Sekiranya perdana menteri merujuk kepada saya, beliau mesti menyatakannya secara terbuka dan mengemukakan bukti bagi menyokong tuduhan-tuduhan tersebut.
"Sekiranya perdana menteri tidak merujuk kepada saya, maka beliau mempunyai kewajipan serta-merta untuk mendedahkan secara terbuka identiti bekas menteri yang dimaksudkan," tegasnya lagi.
Waytha Moorthy menambah bahawa tuduhan tanpa nama daripada seorang perdana menteri adalah tidak boleh diterima dalam sebuah demokrasi yang berteraskan kedaulatan undang-undang.
Tempoh 48 jam yang diberikan bermula petang ini, bagi membolehkan Anwar mendapatkan nasihat peguam sebelum mengesahkan pendiriannya.

