Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi amaran tindakan maksimum akan diambil kepada mana-mana pihak yang mengganggu gugat keselamatan, ketika negara dihadiri tetamu asing pada hari ini.
Anwar berkata dia memberi arahan tegas kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail untuk mengambil tindakan itu pada mesyuarat Kabinet semalam, selain menghantar mesej kepada Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail.
"Nak bagi pandangan dan kritikan, boleh. Di negara ini bebas tapi kalau kamu ganggu gugat keselamatan negara dan cuba khianati, persulitkan keadaan ketika ada tamu negara kita, percayalah, saya akan ambil tindakan maksimum, tangkap dan humbankan mereka," katanya seperti dilapor Berita Harian
Anwar turut memberi amaran kepada peserta perhimpunan supaya tidak melampaui batas peranan masing-masing dan bertindak seolah-olah penguat kuasa undang-undang.
"Jangan hasut sampai benci satu sama lain. Jangan langgar prinsip undang-undang. Kamu bukan hakim atau ketua polis. Kamu nak ambil alih tugas ketua polis, kami tangkap dan humban kamu.
"Percayalah, nak cuba, cuba hari ini dan tengok," katanya berucap pada Konvensyen PKR Selangor di Gombak, hari ini.
Terdahulu hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata pihak polis tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) di hadapan kompleks beli-belah Sogo, di Kuala Lumpur malam ini.
Fadil berkata keputusan itu dibuat setelah polis menjalankan risikan keselamatan dan mendapatkan maklum balas pihak terlibat termasuk pemilik premis di sekitar lokasi tersebut.
Dia menasihatkan orang ramai tidak menyertai perhimpunan itu dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dan mengganggu gugat keselamatan awam di lokasi berkenaan.
Ketika bercakap kepada pemberita di Kedah, Saifuddin turut menggesa supaya perhimpunan aman itu dibatalkan.
Menurutnya, walaupun permit polis bukan lagi keperluan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, tindakan masih boleh diambil terhadap pihak yang terlibat atas alasan ketenteraman awam dan keselamatan.
Perhimpunan itu pada awalnya dijadualkan berlangsung malam ini di luar kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth, mengesahkan perhimpunan tersebut akan diteruskan seperti dirancang, dan menegaskan polis “tidak mempunyai kuasa” untuk menghalangnya.
Satu sidang media sebelum acara itu, yang dikatakan melibatkan kira-kira 141 NGO yang menuntut tindakan penguatkuasaan terhadap rumah ibadat yang dibina secara haram juga dijangka diadakan pada jam 3.30 petang ini di Jalan Dang Wangi.
Dalam ucapannya hari ini, Anwar mengulangi pendiriannya menentang pembinaan kuil secara tidak sah, sambil menegaskan bahawa semua rumah ibadat mesti mematuhi undang-undang, sama seperti masjid dan gereja.
"Jika kita melanggar peraturan, hasilnya hanyalah kebencian dan masalah tidak akan dapat diselesaikan," katanya.



