malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Enam tahun Darjah 1: Melaka adakan libat urus pertengahan tahun ini
ADS

Kerajaan Negeri Melaka dan Jabatan Pendidikan negeri akan menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi pelaksanaan sesi persekolahan membabitkan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu bermula 2027.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata walaupun bukan satu paksaan ketika ini bagi ibu bapa untuk menghantar anak berusia enam tahun ke tahun satu, persiapan perlu dilaksanakan seawal mungkin bagi mengelak sebarang masalah.

“Mungkin ada ibu bapa yang mahu anak-anak mereka berusia enam tahun untuk memasuki alam persekolahan lebih awal dan kerajaan negeri serta Jabatan Pendidikan negeri perlu bersedia menerima kehadiran mereka.

“Secara peribadi, saya bersetuju dengan kaedah ini (usia enam tahun memasuki tahun satu) kerana ada dalam kalangan anak-anak telah menerima pendidikan seawal usia empat tahun,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kampung Kita di Sekolah Kebangsaan (SK) Bendahara Seri Maharaja di Kandang di Melaka hari ini.

Kerajaan Persekutuan baru-baru ini melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 bertujuan memacu transformasi sistem pendidikan melalui Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM).

Di bawah RPN 2026-2035, kanak-kanak berusia enam tahun diberi peluang memasuki tahun satu secara sukarela bermula 2027 dengan penekanan wajib pada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, dan Sejarah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen