Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz meminta pemimpin PAS jangan hanya sekadar membaca tajuk artikel yang disiarkan media kerana ia boleh menimbulkan salah faham.
Menjawab kritikan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, Tun Faisal mencadangkan supaya Ahli Parlimen Pasir Mas itu membaca keseluruhan artikel yang disiarkan.
"Tajuk berita yang disiarkan memang panas. Tetapi jangan sekadar baca tajuk.
"Ada lima bahagian dalam laporan berita tersebut. Bahagian pertama ulasan penulis, bahagian kedua, ketiga dan keempat adalah oleh sumber, bahagian kelima, barulah komen saya.
"Cadangan saya, sebaiknya baca laporan penuh, jangan sekadar baca tajuk. Pandangan saya, pre-council presiden-presiden adalah platform yang baik dan tepat untuk bincangkan perkara-perkara yang tak jelas. Tentu bagus kalau kesemua presiden dapat duduk bersama berbincang secara baik dan harmoni," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Dia mengulas laporan Berita Harian yang memetik sumber tidak dinamakan yang menyifatkan parti Islam itu sebagai "tamak".
"Apa dilakukan PAS kini jelas menampakkan ketamakan parti itu dalam mengejar jawatan dan berasakan mereka kuat.
"Ketamakan ini akan memakan diri PAS sendiri sebab ada pemimpinnya gila hendak merebut jawatan," kata sumber berkenaan.
Laporan yang sama turut memetik kenyataan Tun Faisal yang menyatakan Presiden PAS dan Bersatu telah bersetuju bahawa struktur PN perlu diperbaiki.
Bagaimanapun kata Tun Faisal, wujud perbezaan pendirian mereka dalam isu pemansuhan jawatan pengerusi PN.
Justeru, Fadhli mengkritik dakwaan dalam artikel berkenaan yang mendakwa ketamakan PAS mengorbankan hubungan dengan Bersatu.

"Anda dan beberapa kerat pemimpin anda yang tamak. Masuk Bersatu pada tahun 2023 selepas PRU, dan pandai-pandai label PAS sebagai tamak dan pemimpinnya gila jawatan.
"Jika PAS tamak, PAS tidak serahkan jawatan ketua pembangkang kepada parti lain walhal PAS mempunyai kerusi paling banyak," katanya dalam hantaran di Facebook.
Malam tadi, mesyuarat pramajlis melibatkan pemimpin tertinggi PN diadakan di kediaman Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara.
Mereka yang hadir ialah Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan; Presiden Gerakan, Dominic Lau, Timbalan Presiden MIPP, S Subramaniam; Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam.
Bagaimanapun kelibat pemimpin PAS tidak kelihatan dalam pertemuan itu.

