malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu kuil Hindu KL: Polis jumpa semua pihak berkepentingan esok
ADS

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi akan mengadakan satu pertemuan bersama semua pihak berkepentingan bagi membincangkan isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo mengesahkan perkara itu selepas melawat kuil berkenaan petang tadi.

“Satu mesyuarat telah ditetapkan oleh pihak polis esok dan akan dihadiri jawatankuasa serta pengurusan kuil.

“Saya akan memudah cara dan melihat bagaimana kita dapat membantu pihak kuil dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita.

Sebelum ini, Jakel Trading memberikan tempoh tujuh hari kepada pengurusan kuil untuk memindahkan struktur sedia ada dari sebidang tanah milik syarikat tekstil itu.

Menurut satu notis bertarikh 13 Jan yang dilihat Malaysiakini, syarikat berkenaan memohon kerjasama segera pihak kuil untuk mengosongkan tapak tersebut bagi membolehkan kerja-kerja pembangunan dimulakan dalam tempoh sebulan.

Dalam surat yang ditandatangani Pengurus Besar Jakel Trading, Khadijah Mohd Yatib, syarikat itu memaklumkan sejumlah RM1 juta telah diperuntukkan, yang boleh disalurkan oleh peguam Jakel “pada bila-bila masa selepas pengesahan bahawa pihak kuil telah mengosongkan tapak sepenuhnya.”

Notis itu turut memberi amaran bahawa kegagalan mematuhi arahan berkenaan akan menyebabkan syarikat tersebut tiada pilihan selain menarik balik “tawaran niat baik” itu serta mengambil semua tindakan undang-undang yang perlu bagi menguatkuasakan haknya sebagai pemilik tanah.

Bagaimanapun, jawatankuasa kuil menyifatkan tuntutan Jakel sebagai “bercanggah dan mengabaikan aku janji kerajaan” sebelum ini.

Setiausaha kuil, Kaarthik Gunaseelan bagi pihak jawatankuasa pengurusan, mengingatkan arahan pada Mac 2025 oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) ketika itu, Dr Zaliha Mustafa, yang telah menawarkan komitmen kerajaan untuk memastikan kuil tersebut tidak dipindahkan sehingga proses penempatan semula ke premis baharu diselesaikan sepenuhnya.

Kaarthik turut memberitahu Malaysiakini bahawa dia akan mendapatkan nasihat undang-undang selepas menerima notis supaya kuil itu segera dikosongkan.

Terdahulu, jawatankuasa kuil menyatakan isu pemindahan itu diharapkan dapat diselesaikan secara baik menerusi pertemuan bersama pihak polis.

“Kami hanya menerima ‘vacant possession’ (serahan milikan kosong) dua hari yang lalu daripada DBKL,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Selain jawatankuasa kuil, pihak polis turut memanggil wakil Jakel Trading, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) untuk menghadiri pertemuan berkenaan.

Pertikaian berhubung tanah kuil itu mendapat perhatian nasional tahun lalu apabila NGO Lawyers for Liberty, bersama bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan, secara terbuka mengkritik rancangan Jakel Trading untuk membangunkan sebuah masjid di atas tanah tersebut.

Projek berkenaan memerlukan penempatan semula kuil itu, yang kini masih berada di lokasi asalnya di sepanjang Jalan Bunus Enam, bertentangan dengan Jakel Mall.

Penyokong pemeliharaan kuil memetik sejarah panjangnya, berkata kuil tersebut bermula sejak era penjajahan British dan telah menjadi tempat ibadat bagi beberapa generasi.

Namun, pengkritik berhujah kuil berkenaan tidak mempunyai tuntutan undang-undang ke atas tanah tersebut, yang telah dijual oleh DBKL kepada Jakel, maka dengan itu perlu dipindahkan bagi memberi laluan kepada pembangunan.

Berikutan bantahan awam, beberapa perbincangan telah diadakan melibatkan Jakel, jawatankuasa kuil dan DBKL, sebelum Dewan Bandaraya bersetuju memindahkan kuil tersebut ke satu tapak alternatif kira-kira 50 meter dari lokasi sedia ada, dalam kawasan Jalan Masjid India yang sama. Persetujuan itu turut dipersetujui oleh pengerusi kuil.

Walaupun pelan penempatan semula telah diumumkan, kuil tersebut masih belum dipindahkan secara fizikal dan terus beroperasi di tapak asalnya sementara menunggu pengaturan penempatan semula dimuktamadkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen