Timbalan Presiden MIC M Saravanan, menyambut baik kemasukan semula Parti Progresif Penduduk (PPP) ke dalam Barisan Nasional (BN), sambil menyifatkan langkah itu sebagai perkembangan positif untuk memperkukuh gabungan berkenaan.
Dia turut mencadangkan agar parti-parti yang selama ini dilabel sebagai ‘Mesra BN’, termasuk Makkal Sakti, IPF, Kimma, Miup dan beberapa lagi, diterima masuk sebagai parti komponen penuh BN.
Menurut Saravanan, pengintegrasian rakan-rakan setia BN itu merupakan satu keperluan strategik bagi memperkukuh kepelbagaian kekuatan gabungan tersebut serta memupuk kestabilan politik jangka panjang.
“Penyatuan semula ini memperkasakan nilai perpaduan dan kestabilan yang kita kongsi bersama,” katanya melalui kenyataan kepada Malaysiakini.

“Ini bagi memastikan kita membina satu barisan hadapan yang kental, yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat serta menambah baik landskap politik negara,” jelasnya.
Ahli parlimen Tapah juga berkata parti-parti berkenaan telah sudah lama ‘menanti di luar pintu’ namun kekal konsisten menyumbang kepada jentera akar umbi serta kejayaan pilihan raya BN walaupun tanpa pengiktirafan rasmi sebagai parti komponen penuh.
Saravanan menegaskan kemasukan rasmi parti-parti tersebut bukan sekadar soal pengiktirafan semata-mata, sebaliknya menjadi bukti penghargaan terhadap komitmen jangka panjang mereka kepada BN.
Terdahulu, Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan PPP ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini, mengumumkan PPP diiktiraf secara rasmi sebagai parti komponen BN.

Ahmad Zahid memaklumkan majlis pengiktirafan rasmi itu akan diadakan semasa mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kota Kinabalu pada 21 Jan.
Dengan kemasukan PPP selaku parti komponen penuh BN, gabungan itu kini merangkumi lima parti komponen - Umno, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan PPP.

