malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pakai baju oren: Tei kemuka saman pemula pada SPRM, Azam
ADS

Ahli perniagaan dan pembocor maklumat, Albert Tei, hari ini memfailkan saman pemula ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); ketua pesuruhjaya agensi itu, Azam Baki; serta kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Langkah tersebut dibuat Tei bagi mencabar amalan SPRM mengenakan pakaian lokap mereka ke atas seseorang yang belum disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

Peguam Tei, N Surendran, berkata saman tersebut antara lain memohon perisytiharan mahkamah bahawa arahan atau amalan mewajibkan individu yang masih disiasat memakai baju lokap berwarna jingga itu sebagai tidak berperlembagaan, tidak sah dan bercanggah dengan prinsip keadilan.

“Undang-undang di Malaysia tidak membenarkan seseorang yang belum disabitkan kesalahan dipaksa memakai pakaian lokap, diambil gambar, dan didedahkan kepada umum seolah-olah telah bersalah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Surendran berkata saman berkenaan turut memohon ganti rugi terhadap pihak-pihak terlibat. Bagaimanapun jumlah pampasan tidak dinyatakan dan diserahkan kepada budi bicara mahkamah.

Ketika diminta mengulas saman itu, Surendran berkata, isu ganti rugi adalah perkara kedua berbanding keutamaan mereka iaitu perlindungan maruah individu serta prinsip bahawa seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Tei ditangkap pada 28 Nov lalu dan direman selama lima hari sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Dis, serta di Mahkamah Sesyen Shah Alam sehari kemudian.

Ahli perniagaan itu didakwa memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin.

Shamsul Iskandar turut didakwa menerima rasuah daripada Tei.

Kedua-dua mereka secara berasingan mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan tersebut.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama Tei turut mendakwa dia dipaksa memakai baju lokap SPRM ketika dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman, selain digari dan dibawa ke beberapa lokasi yang dilihat orang awam.

Mengapa ada yang dikecualikan

Tei mendakwa tindakan tersebut dilakukan dengan niat untuk memalukan dan memberi tekanan mental terhadap dirinya sebagai pemberi maklumat.

“Mereka cuba menghancurkan semangat perjuangan saya dalam perkara ini. Namun saya ingin tegaskan dan ingin memberitahu kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim; serta Azam bahawa mereka telah memandang remeh terhadap kesungguhan, keazaman dan ketegasan saya dalam perjuangan ini.

“Saya tidak akan sama sekali berputus asa. Ini satu penghinaan kepada saya,” katanya.

Tei juga turut mempersoalkan mengapa tokoh politik dan individu berjawatan tinggi yang ditahan sebelum ini tidak dikenakan pakaian lokap sedemikian, justeru menyifatkan amalan itu sebagai penguatkuasaan dua darjat.

“Saya ingin tanya kenapa Najib Razak, Rosmah Mansor, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob serta orang yang berprofil tinggi lain, semua apabila ditangkap tidak pakai baju oren yang memaparkan perkataan lokap.

“Kenapa? Apa bezanya? Sebab mereka adalah manusia yang berprofil  tinggi, orang besar? Sementara kita, rakyat lapisan bawah?

“Saya mencabar SPRM untuk jelaskan berapa ramai individu yang dipaksa memakai baju lokap tetapi akhirnya tidak didakwa. Apakah pampasan kepada mereka?” katanya.

Saman itu turut menamakan kerajaan Malaysia sebagai responden atas alasan bahawa mereka bertanggungjawab ke atas dasar dan amalan penguatkuasaan yang didakwa menindas individu yang belum disabitkan kesalahan.

Kes tersebut disebut hari ini bagi pengurusan awal, manakala satu lagi sebutan dijadualkan pada 13 Mac depan bagi isu penyerahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Menurut Tei dia tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang lanjut ke atas SPRM pada masa depan.

“Saya ingin menegaskan di sini, ini adalah saman pertama saya terhadap SPRM dan ini bukanlah saman yang terakhir.

“Ini hanyalah saman pertama dan saya percaya seterusnya akan ada macam-macam lagi saman,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen