malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kesal rasuah berleluasa, peguam harap 'sihir' Magic
Diterbitkan:  Jan 7, 2026 8:00 PM
Dikemaskini: 12:23 PM
ADS

Peguam Mahajoth Singh, yang mencuri tumpuan selepas mewakili ahli perniagaan Albert Tei — individu yang mendedahkan skandal perlombongan Sabah — kini berharap dapat “menyihir” perasuah melalui penubuhan satu inisiatif NGO advokasi bebas baru yang memfokuskan akauntabiliti institusi dan kedaulatan undang-undang.

Mahajoth berkata inisiatif itu yang dinamakan Malaysians Against Governmental and Institutional Corruption (Magic) ditubuhkan pada penghujung tahun lalu.

Apabila ditanya apa yang mendorongnya menubuhkan Magic, Mahajoth menjawab: “Kerana keterlibatan kerajaan dalam rasuah telah mencapai tahap yang sudah tidak tertanggung lagi.”

“Bukan sahaja kita tidak melihat sebarang tindakan sebenar terhadap aduan yang dibuat ke atas mereka yang memegang jawatan tertinggi, malah lebih teruk lagi, mereka yang mendedahkan rasuah pula ditangkap, didakwa dan dipersendakan,” katanya, sambil merujuk skandal Sabah serta pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang kemudiannya diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).

Dalam kenyataan media sulungnya, Magic menyorot laporan beberapa pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok, Kelantan didakwa memeras ugut ibu kepada seorang suspek dadah sebanyak RM6,000 bulan lalu.

Mahajoth menegaskan apabila pegawai penguat kuasa menyalahgunakan kuasa tangkapan dan pendakwaan untuk kepentingan peribadi, kuasa negara sedang disalahgunakan.

“Itu adalah rasuah,” tegasnya.

Katanya, perkara sedemikian tidak wajar ditangani melalui saluran “dalaman” atau “tatatertib” semata-mata kerana pendekatan itu akan menyelewengkan tahap keseriusan serta sifat perundangan sebenar perbuatan jenayah berkenaan.

“Menangani dakwaan seperti ini sebagai isu pentadbiran menghantar isyarat institusi yang merosakkan — contohnya, bahawa peras ugut yang dilakukan melalui penyalahgunaan kuasa rasmi boleh diuruskan secara dalaman dan bukannya didakwa.

“Ini melemahkan kesan pencegahan, menghakis keyakinan awam dan menjejaskan kedaulatan undang-undang.

"Apabila sesuatu perbuatan jelas bersifat jenayah secara prima facie, ia mesti disiasat melalui siasatan jenayah. Proses tata tertib tidak boleh menggantikan pendakwaan,” katanya lagi.

Mahajoth turut mengingatkan komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan Madani akan bertindak tegas terhadap rasuah tanpa membezakan kawan atau lawan.

Namun, katanya komitmen itu mesti diterjemahkan bukan sekadar melalui kenyataan awam, tetapi juga dalam pengelasan undang-undang serta cara salah laku ditangani di peringkat operasi.

“Magic menyeru Ketua Polis Negara Khalid Ismail supaya memastikan perkara ini tidak diselesaikan secara senyap melalui proses dalaman semata-mata.

“Pegawai yang terlibat mesti dikenal pasti secara terbuka selepas siasatan selesai dan orang awam perlu dimaklumkan tentang hasil perundangan kes ini. Ketelusan mesti ditegakkan,” katanya.

Mahajoth turut berkata memandangkan dakwaan terhadap pegawai polis itu melibatkan permintaan suapan dan penyalahgunaan jawatan awam, perkara tersebut terletak di bawah mandat statutori Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Oleh itu, Magic menggesa SPRM memulakan satu siasatan bebas terhadap perkara ini,” tambahnya.

Pada Isnin, Ketua Polis Kelantan Yusoff Mamat berkata siasatan dalaman telah dimulakan pada 30 Disember, sejurus selepas dakwaan tersebut timbul.

Dia turut memaklumkan polis akan menahan semula lelaki yang dibebaskan selepas keluarganya didakwa membayar RM6,000 kepada empat pegawai polis.

Katanya, keempat-empat anggota polis berkenaan telah memulangkan wang tersebut kepada keluarga lelaki itu.

Yusoff juga berjanji polis akan menjalankan siasatan secara telus dan mengikut undang-undang.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen