malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Tahniah Anwar, tahniah Muhyiddin,’ Wan Saiful sindir dapatan kaji selidik
Diterbitkan:  Jan 7, 2026 6:19 PM
Dikemaskini: 10:29 AM
ADS

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan hari ini secara sinis mengucapkan “tahniah” kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan dapatan kaji selidik terbaharu oleh badan pemikir Institut Masa Depan Malaysia (Masa) yang merekodkan peningkatan kepuasan awam terhadap kepimpinan dan pentadbirannya.

Bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipecat daripada parti itu berkata bahawa dia turut “mengucapkan tahniah” kepada presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selaku pengerusi Masa.

Wan Saiful Wan Jan

“Apabila sebuah institut yang dipengerusikan oleh Presiden Bersatu bersusah payah menjalankan kajian seluruh negara yang hasilnya mengabsahkan ketokohan Anwar Ibrahim, maka sudah pasti Anwar boleh berbangga,” kata Wan Saiful.

Semalam, Masa berkata keputusan tinjauan telefonnya melibatkan 1,604 responden antara 15 Nov hingga 19 Dis tahun lalu mendapati tahap kepuasan orang ramai terhadap prestasi kerajaan meningkat daripada 41 peratus pada Jun 2025 kepada 49 peratus pada Disember 2025.

Kaji selidik Masa itu turut merekodkan peningkatan penilaian prestasi Anwar daripada 33 peratus kepada 46 peratus dalam tempoh sama.

“Mengikut etnik, 58 peratus responden Cina menyatakan kepuasan terhadap prestasi perdana menteri, diikuti India (42 peratus) dan Melayu (40 peratus),” kata badan pemikir itu.

Bagaimanapun, walaupun terdapat peningkatan kepuasan terhadap kerajaan Madani dan perdana menteri, kaji selidik itu mendapati prestasi keseluruhan masih berada di bawah paras “memuaskan” iaitu 50 peratus.

Wan Saiful pada masa sama turut menyindir Muhyiddin yang baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN).

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin kerana institut yang dia pengerusikan mengesahkan bahawa Muhyiddin lah yang terpaling popular untuk menjadi calon Perdana Menteri selepas PRU-16.,” katanya.

Menurut Masa, 46 peratus responden menamakan Muhyiddin sebagai calon pilihan untuk menggantikan Anwar, manakala 39 peratus memilih untuk mengekalkan pengerusi Pakatan Harapan itu bagi penggal kedua.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pula berada di tempat ketiga dengan 16 peratus sokongan.

“Dari segi sokongan etnik, Muhyiddin menerima sokongan tertinggi daripada responden Melayu iaitu 56 peratus, diikuti responden Cina (34 peratus) dan India (14 peratus).

“Anwar menerima sokongan tertinggi daripada responden Cina iaitu 50 peratus, diikuti Melayu (37 peratus) dan India (22 peratus),” kata Masa.

“Zahid menerima sokongan 17 peratus daripada responden Melayu, 10 peratus daripada responden Cina dan lima peratus daripada responden India,” tambahnya.

Selain presiden parti sedia ada, kaji selidik Masa turut menyenaraikan beberapa tokoh politik lain sebagai calon perdana menteri berpotensi.

Antaranya bekas menteri Umno Khairy Jamaluddin (56 peratus); bekas perdana menteri Najib Razak (41 peratus); bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (33 peratus); naib presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar (29 peratus); timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man (20 peratus); dan timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin (17 peratus).

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata: “Institut yang dipengerusikan Muhyiddin bertungkus lumus buat kajian yang hasilnya mendapati Muhyiddin adalah yang terpaling hebat. Itu memang hebat.”

“Dengan absahnya ketokohan dan populariti Anwar dan Muhyiddin, mungkinkah ada lembaran baru untuk dua mereka ini berkerjasama untuk membuka pintu awal bagi Bersatu keluar Perikatan Nasional?” soalnya.

Peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN sebelum ini mencetuskan persoalan mengenai masa depan pembangkang serta hubungan antara Bersatu dan PAS susulan krisis politik di Perlis.

Krisis yang tercetus ketika Muhyiddin berada di London pada Disember lalu itu memuncak apabila Bersatu mengambil alih jawatan menteri besar Perlis daripada PAS, sekali gus mencetuskan usaha untuk menghidupkan semula kerjasama antara PAS dan Umno.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah menyatakan kesediaan partinya untuk mengetuai PN. Namun, spekulasi mengenai pengganti masih berterusan, tetapi diperkukuh lagi dengan pertemuan Samsuri dengan Muhyiddin semalam selepas ahli Parlimen Pagoh itu pulang ke tanah air.

Anwar setakat ini menegaskan pentadbirannya masih utuh, manakala Zahid menyatakan BN akan kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal semasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen