Dua bekas menteri, Lim Guan Eng dan Zuraida Kamaruddin membuat dua pertemuan berasingan pada 2018 dan 2019 berhubung projek perumahan rakyat (PPR) Bestari Jaya untuk bekas pekerja ladang di sana, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu hari ini.
Bekas ketua pengarah perumahan dan kerajaan tempatan, Jayaselan Navaratnam, berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi Zuraida dalam saman fitnah yang difailkan oleh Lim, hari ini.
Jayaselan berkata dia hadir kedua-dua pertemuan itu sebagai pemerhati namun tidak mengambil sebarang nota mengenai perkara yang dibincangkan kerana pertemuan tersebut bersifat tidak rasmi.
“Ia pertemuan peribadi. Saya dijemput (oleh Zuraida) dan tiada bantahan daripada pihak lain untuk saya menyertai pertemuan itu (kerana) jika ada bantahan, saya akan keluar dari bilik.
“Sebab itu saya katakan (dalam keterangan) ia adalah pertemuan empat mata. Ia adalah pertemuan tidak rasmi,” katanya kepada peguam Lim, Sankara Nair, semasa pemeriksaan balas.
Katanya lagi, dia meninggalkan pertemuan itu lebih awal selepas perkara berkaitan projek perumahan dibincangkan dan mencapai kesimpulan.
Semalam, Zuraida dalam keterangannya berkata dia berjumpa Lim pada kedua-dua pertemuan itu, bercanggah dengan keterangan Lim sebelum ini bahawa dia tidak ingat pernah berjumpa atau membincangkan projek perumahan tersebut dengan Zuraida, yang merupakan bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Lim, 65, memfailkan saman fitnah terhadap Zuraida, editor portal berita dalam talian MalaysiaNow serta pemiliknya, Mnow Media Sdn Bhd, pada Jun 2024, dengan mendakwa Zuraida telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung projek perumahan tersebut.
Lim mendakwa kenyataan itu disiarkan MalaysiaNow pada 10 Mei 2024 menerusi artikel bertajuk “Zuraida dakwa Guan Eng tolak dua kali permohonan KPKT bina rumah pekerja ladang Bestari Jaya”.
Dapatkan penjelasan daripada Lim
Sementara itu, Jayaselan berkata pertemuan pada 2018 diadakan bagi mendapatkan penjelasan mengenai hala tuju projek perumahan Bestari Jaya.
Ini kerana projek tersebut telah diluluskan semasa pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak dan masih di peringkat surat niat (letter of intent, LOI), dengan perolehan diberikan kepada kontraktor yang dipersetujui oleh pemilik tanah, Kumpulan Berjaya, melalui rundingan terus.
Selepas PH menjadi kerajaan pada 2018, Jayaselan berkata kaedah pemberian perolehan tender diubah kepada sistem tender terbuka, menyebabkan pertemuan itu diadakan agar kementerian kewangan yang dipimpin Lim “melonggarkan dasar”.
“(Zuraida dan saya) pada masa itu ingin mendapatkan penjelasan mengenai ‘melonggarkan dasar’. Jadi, kami ke sana untuk mencuba nasib sama ada akan berlaku perubahan dasar.
“(Namun) Lim bertegas dengan keputusannya untuk tidak mengubah apa-apa. (Katanya) dasar tetap dasar,” kata Jayaselan, merujuk kepada pendirian tegas Lim.
Bagaimanapun, Jayaselan bersetuju dengan hujahan Sankara bahawa walaupun Lim bertegas untuk berpegang kepada dasar sedia ada, dia tidak secara langsung menolak projek tersebut.
Proses tender terbuka
Kata Jayaselan lagi, respons Lim itu mendorong Zuraida untuk mengadakan pertemuan dengan pemilik tanah, di mana mereka membincangkan isu perolehan tender.
Susulan itu, Jayaselan berkata pemilik tanah bersetuju dengan proses tender terbuka, yang membawa kepada pertemuan kedua pada 2019.
“Pertemuan kedua hanya untuk maklumkan (Lim) mengenai perkembangan dengan (pemilik tanah). Saya di sana semata-mata untuk tujuan memaklumkan. Dia berkata ‘baik dan teruskan’,” katanya lagi.
Namun, projek itu ditangguhkan sementara dan akhirnya dikeluarkan daripada senarai projek perumahan selepas kerajaan PH tumbang pada 2020.
Jayaselan berkata projek itu akhirnya dikembalikan pada 2022, dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, membuat pengumuman mengenainya tahun lalu.
Pada April 2024, Nga dilaporkan berkata RM5.21 juta akan diperuntukkan bagi menaik taraf infrastruktur awam di bawah Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Projek Kampung Baru Cina.
Mahkamah kemudian menetapkan 9 Februari untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan lisan, 20 Februari bagi jawapan balas, dan 25 Februari untuk keputusan.

