malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mungkin sudah tiba masanya mengundur diri - Akmal
Diterbitkan:  Jan 7, 2026 11:45 AM
Dikemaskini: 3:56 AM
ADS
1

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, memberi bayangan mengenai kemungkinan “mengundur diri”, selepas presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, menolak gesaannya supaya Umno keluar daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Dalam satu hantaran di Facebook, Akmal berkata dia telah “melakukan usaha dan menyampaikan sehabis baik”.

“Kita dah usaha sehabis baik, kita dah sampaikan sehabis baik, mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri.

“Terima kasih atas suara-suara anda semua yang sayangkan perjuangan ini. Saya percaya jika niat kita baik demi agama, bangsa dan tanah air, insya-Allah waktunya akan sampai jua,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Akmal untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Sabtu lalu, Pemuda Umno mengadakan konvensyen khas. Akmal kemudian menggesa Umno keluar daripada kerajaan dan bergabung dengan PAS sebagai pembangkang.

Difahamkan, ketua Pemuda Umno itu telah mengemukakan pendiriannya dalam mesyuarat biro politik Umno pada malam Isnin.

Ketika bercakap kepada media semalam, Zahid berkata tiada sebarang keputusan dibuat berhubung agenda Pemuda Umno pada mesyuarat Isnin itu.

Bagaimanapun, Zahid menegaskan bahawa Umno dan BN akan kekal bersama kerajaan Madani sehingga tamat penggal.

Dia juga mengingatkan Umno agar tidak bekerjasama dengan PAS dan menegaskan parti itu tidak seharusnya “dipatuk ular yang sama” buat kali kedua.

Umno sebelum ini pernah bekerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) dari 2018 hingga 2020.

Namun, pakatan itu berakhir pada 2020 apabila PAS memilih untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) dan bekerjasama dengan Bersatu.

Umno dan PAS berada dalam kerajaan yang sama sehingga penghujung 2022, namun kedua-dua parti itu bertembung pada Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 dan Pilihan Raya Negeri Johor 2022.

PAS baru-baru ini mempertimbangkan untuk menghidupkan semula MN selepas berlaku persengketaan dengan Bersatu susulan langkah parti itu menjatuhkan kerajaan negeri Perlis yang diterajui PAS.

Namun, ketegangan antara PAS dan Bersatu reda selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN, sekali gus membuka ruang kepada PAS untuk mengambil alih kepimpinan gabungan tersebut.

Bagaimanapun, sebahagian pemimpin PAS dilihat masih berminat untuk menghidupkan semula MN, dalam masa yang sama menerajui PN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1