malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Bagaimana pula peranan Apandi dalam skandal 1MDB?'
ADS

Tumpuan terhadap skandal 1MDB kini kembali terarah kepada bekas Peguam Negara, Apandi Ali, dan peranannya yang didakwa menutup jenayah yang telah menyebabkan bekas bosnya, Najib Razak, yang disabitkan kesalahan.

Perkara yang menjadi perhatian khusus bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, dan Ketua Biro Undang-undang Wanita DAP, Sangeet Kaur Deo, ialah siasatan polis yang dilancarkan terhadap Apandi pada 2022 — susulan laporan polis yang dibuat oleh Charles.

Dalam kenyataan berasingan, kedua-duanya berhujah bahawa skandal 1MDB bukan semata-mata kesalahan Najib seorang.

Sehubungan itu, kata Sangeet, orang ramai berhak mengetahui perkembangan siasatan polis terhadap Apandi.

Sangeet Kaur Deo

“Skandal 1MDB terlalu besar untuk berlaku tanpa pengetahuan, penglibatan, atau kegagalan serius oleh lebih daripada beberapa individu. Sesiapa sahaja yang memainkan apa-apa peranan dalam membolehkan, membenarkan, atau membiarkan salah laku 1MDB berterusan perlu disiasat.

“Orang ramai berhak mengetahui apa yang berlaku terhadap siasatan (ke atas Apandi) yang diumumkan pada 2022, dan sama ada ia telah diselesaikan,” katanya.

Apandi, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai Peguam Negara oleh Najib pada 2015 selepas Abdul Gani Patail disingkirkan secara mengejut daripada jawatan tersebut.

Lebih seminggu selepas pelantikannya, Apandi bertindak membubarkan pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB dengan alasan ia tidak lagi diperlukan.

Abdul Gani Patail

Langkah itu menjadi permulaan kepada beberapa tindakan oleh Peguam Negara ketika itu sepanjang tempoh 2015 hingga 2018, yang menghalang siasatan terhadap 1MDB dan melindungi Najib.

Pada 26 Januari 2016, Apandi mengumumkan bahawa Najib “tidak mengetahui” bahawa RM42 juta dana SRC International adalah daripada “derma” Arab, walaupun dia pada masa sama memegang carta yang menunjukkan dana tersebut sememangnya datang daripada SRC International.

Dia juga berkata Najib tidak menyalahgunakan kuasanya dalam meluluskan jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International.

Oleh itu, katanya ketika itu, tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib berhubung skandal SRC International dan “derma” RM2.6 bilion.

Ini walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah menasihati Apandi supaya mendakwa Najib.

Jumlah RM2.6 bilion itu merujuk kepada AS$621 juta dana 1MDB yang diselewengkan ke dalam akaun Najib.

Apandi kemudiannya menyokong naratif penderma Arab dengan mendakwa wang tersebut datang daripada anak seorang bekas raja Arab Saudi.

Pada masa yang sama, Apandi juga dilaporkan tidak bekerjasama dengan usaha SPRM untuk mendapatkan bantuan perundangan bersama (MLA) bagi memperoleh penyata bank luar negara berkaitan pemindahan dana 1MDB.

Dia juga dilaporkan menggagalkan usaha pihak berkuasa Switzerland yang sedang menyiasat skandal 1MDB.

Apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendedahkan bukti kukuh bahawa Najib — yang diberi nama kod Malaysia Official 1 (MO1) — menerima dana 1MDB, Apandi tampil mempertahankan perdana menteri ketika itu dan berulang kali menafikan sebarang salah laku.

Dia malah mendakwa tiada bukti bahawa dana 1MDB telah diselewengkan.

Kemudian, apabila pihak berkuasa Indonesia merampas kapal layar mewah Equanimity — yang dibeli oleh sekutu Najib, Jho Low, menggunakan dana 1MDB yang dicuri — Apandi berkata tiada sebab untuk kerajaan Malaysia menuntut pemilikan kapal tersebut.

Selepas Najib tumbang pada 2018, Malaysia akhirnya memperoleh Equanimity dan menjualnya bagi mendapatkan semula sebahagian kerugian akibat skandal 1MDB.

Equanimity

Najib telah disabitkan kesalahan dalam kedua-dua skandal rasuah SRC International dan 1MDB.

Dia kini menjalani hukuman penjara bagi kes SRC International, dan Jumaat lalu Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tambahan 15 tahun ke atasnya bagi kes 1MDB.

Najib, 72, turut dikenakan denda RM11.38 bilion bagi kes 1MDB. Jika gagal membayarnya, dia akan dikenakan hukuman penjara tambahan selama 10 tahun.

Pada Mei 2022, Apandi kalah dalam saman fitnah terhadap veteran DAP Lim Kit Siang, berhubung satu artikel pendapat yang menurutnya membayangkan dia terlibat dalam skandal kewangan 1MDB, tidak bermoral, tidak berintegriti, tidak beretika, dan menyalahgunakan kuasa sebagai Peguam Negara.

Lim Kit Siang (kanan)

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Lim wajar membangkitkan isu tersebut selepas Najib disabitkan kesalahan dalam kes SRC International.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, ketika menolak rayuan Apandi, menyatakan bahawa tindakan atau kegagalannya bertindak dalam mengendalikan skandal 1MDB telah memberi gambaran kepada orang ramai bahawa dia menutup skandal tersebut.

Mahkamah Persekutuan kemudiannya menolak permohonan Apandi untuk mengemukakan rayuan terakhir.

Bagaimanapun, Charles dalam kenyataannya hari ini mengingatkan bahawa Apandi tidak bertindak secara bersendirian.

“Pihak lain turut memperbesar dan mengabsahkan naratif palsu itu. Ketua SPRM sekarang, yang ketika itu merupakan Pengarah Siasatan, Azam Baki, mengesahkan bahawa penyiasat telah bertemu dengan individu yang didakwa sebagai penderma.

Azam Baki

“Orang ramai diberitahu berulang kali dan secara rasmi bahawa wang itu adalah derma, bahawa ia bersih, dan bahawa isu itu telah ditutup,” katanya.

“Sabitan Najib menutup satu bab. Bab yang lebih sukar — memulihkan kredibiliti dengan memastikan pihak yang membolehkan jenayah itu dipertanggungjawabkan — mesti bermula sekarang,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen