malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dulu Zahid tolak tahanan rumah untuk Anwar
ADS

Kepimpinan tertinggi Umno kini berjuang habis-habisan untuk membolehkan bekas presidennya, Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.

Namun, tidak lama dahulu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menolak cadangan serupa untuk ketuanya sekarang, Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada 2016, PH mendesak kerajaan pimpinan Najib ketika itu membenarkan Anwar menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Ketika itu, Zahid merupakan timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri dalam kabinet Najib, manakala Anwar ialah ketua pembangkang yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kes liwat.

Gambar fail, Najib bersama isterinya Rosmah Mansor menziarahi Anwar yang dirawat di hospital pada Nov 2017.

Menurut Zahid, kerajaan tidak boleh membenarkan Anwar yang juga ketua umum PKR ketika itu menjalani tahanan rumah kerana undang-undang tidak memperuntukkannya.

Cadangan untuk penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buloh ke rumah kediamannya di Bukit Segambut, cadangan ini tidak boleh dilaksanakan kerana negara kita belum mempunyai undang-undang untuk pelaksanaan tahanan di rumah," katanya pada jawapan bertulis di parlimen.

Menteri dalam negeri ketika itu menjawab soalan isteri Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Wan Azizah Wan Ismail, yang meminta kerajaan membenarkan suaminya menjalani tahanan rumah.

Walaupun tiada undang-undang khusus mengenai tahanan rumah, Akta Penjara membenarkan menteri dalam negeri mengisytiharkan mana-mana lokasi — termasuk sebuah rumah — sebagai penjara.

Gambar fail, peguam dan keluarga Anwar di mahkamah.

Idea tahanan rumah mula dibangkitkan oleh peguam Anwar beberapa hari selepas dia disabitkan kesalahan pada 10 Februari 2015.

Peguam N Surendran dan Latheefa Koya berkata Anwar wajar dianggap sebagai “tahanan nurani” dan bukan banduan biasa.

Mereka berhujah rejim tentera Myanmar meletakkan pemimpin negara itu, Aung San Suu Kyi, di bawah tahanan rumah, bukannya memenjarakannya di penjara biasa.

Hujah titah adendum

Kini, keadaan berbeza — Najib berada di penjara dan Zahid pula mahu bekas perdana menteri itu ditempatkan di bawah tahanan rumah.

Penyokong Najib dalam Umno berhujah bahawa satu titah adendum yang dikeluarkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada hari terakhir baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang membenarkan Najib menjalani tahanan rumah, perlu dikuatkuasakan dan mendakwa kegagalan berbuat demikian sama seperti derhaka kepada institusi diraja.

Pada April lalu, Zahid turut memfailkan satu afidavit bagi menyokong dakwaan Najib mengenai kewujudan titah tambahan tersebut.

"Saya sesungguhnya percaya bahawa untuk tempoh masa yang mencukupi saya melihat dan membaca titah adendum, dan saya melihat dengan jelas semua kandungannya dan bahawa ia merupakan sebahagian daripada proses pengampunan pemohon (Najib) yang merupakan tambahan kepada titah utama, kedua-duanya betarikh 29 Januari 2024.

“Justeru, saya dengan ini mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Saya juga percaya selain saya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan yang lain telah melihat titah adendum tersebut.

“Secara khusus, saya sedar bahawa Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail juga telah melihat salinan titah adendum dan boleh mengesahkan perkara yang sama," kata Zahid dalam pemfailan mahkamahnya bertarikh 9 April.

Permohonan pengampunan penuh

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi minggu lalu memutuskan bahawa titah adendum itu tidak sah kerana tidak memenuhi keperluan Perlembagaan yang menetapkan seorang raja perlu berunding dengan Lembaga Pengampunan sebelum memberikan pengampunan.

Zahid dan Umno kini mendesak supaya Najib — yang baru sahaja dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dalam satu lagi kes rasuah — diberikan pengampunan penuh.

Kehadiran Najib yang berterusan di penjara menjadi isu sensitif utama bagi Umno, yang turut mengugut untuk menarik diri daripada kerajaan Anwar susulan kemarahan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Puchong dari DAP, Yeo Bee Yin yang meraikan kegagalan permohonan Najib untuk menjalani tahanan rumah.

Walaupun Anwar — yang membantu mempercepatkan pendengaran permohonan pengampunan Najib — berkata dia menghormati keputusan Mahkamah Tinggi namun perdana menteri juga menggesa pihak yang tidak bersimpati terhadap Najib supaya jangan memburukkan lagi keadaan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen