Terdapat keperluan mendesak untuk mempercepatkan reformasi dalam pasukan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan skandal seperti 1MDB tidak berulang, kata Pengerusi DAP Gobind Singh Deo.
Dia mengulas keputusan kes 1MDB yang mendapati bekas perdana menteri Najib Razak bersalah atas salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan rM2.3 bilion dana syarikat pelaburan negara itu.
Gobind berkata kerajaan Madani sudah melaksanakan beberapa reformasi, termasuk mengambil langkah ke arah memisahkan jawatan peguam negara dan pendakwa raya.
“Namun lebih banyak perlu dilakukan. Kini wujud keperluan mendesak untuk turut menuntut reformasi dalam agensi penguatkuasaan yang benar-benar membawa perubahan sebenar.

“Kes-kes kebelakangan ini seperti insiden tembakan melibatkan tiga individu di Melaka serta kes kematian tahanan di balai polis dan penjara merupakan contoh bagaimana masalah yang telah wujud sejak berdekad lalu masih berterusan. Ini boleh dan mesti ditangani dengan segera.
“Perubahan segera juga perlu dilakukan di SPRM. Terdapat kebimbangan serius mengenai cara beberapa tangkapan, siasatan dan kes dikendalikan. Mekanisme pengawasan yang sedia ada perlu dikaji semula dan diperkukuh,” katanya pada satu kenyataan semalam.
Gobind dan DAP sebelum ini merupakan antara pendukung Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja untuk Menambah Baik Pengurusan dan Operasi PDRM pada 2005.
Bagaimanapun IPCMC tidak dilaksanakan, sebaliknya Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) diluluskan pada 2020 dan berkuat kuasa pada Julai 2023.
IPCC dikritik kerana lebih lemah berbanding IPCMC dan hanya boleh membuat cadangan tindakan disiplin kepada polis stsu pihak berkaitan tanpa kuasa melaksanakan hukuman.
Sementara itu, SPRM juga tidak terlepas daripada pelbagai kontroversi, termasuk persepsi bahawa siasatan dipengaruhi oleh siapa yang memegang kuasa.
Sebagai contoh, ketika Najib masih berkuasa, SPRM menyifatkan dana yang dipindahkan ke akaun peribadi perdana menteri ketika itu sebagai derma, bukan daripada 1MDB.
Selain itu, pengarah siasatan SPRM ketika itu, Azam Baki — yang kini mengetuai agensi berkenaan — pernah dilaporkan memberitahu pemberita bahawa penyiasat SPRM telah bertemu dengan penderma yang didakwa itu. berkenaan.
Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam penghakimannya pada Jumaat lalu mendapati pembelaan derma Arab sebagai “tidak boleh dipercayai” manakala surat-surat yang didakwa daripada penderma Arab itu disifatkan sebagai pemalsuan.
Pada masa ini, SPRM turut dituduh melengahkan siasatan dalam skandal lesen perlombongan Sabah, dengan hanya dua daripada lebih sedozen ahli politik yang dikaitkan telah didakwa.
Pun begitu, Gobind berkata DAP mengiktiraf usaha agensi penguatkuasaan dalam menangani dan menyelesaikan jenayah.
“Namun, kita juga mesti menerima bahawa wujud masalah yang perlu ditangani. Kita perlu memperbaiki keadaan jika mahu membina keyakinan yang lebih tinggi pada masa hadapan.
“Untuk itu, kita perlu melaksanakan reformasi, membangunkan mekanisme lebih baik yang memperkukuh tadbir urus baik serta membina struktur baru yang diperlukan di Malaysia bagi memastikan kes-kes seperti ini tidak berulang,” kata Ahli Parlimen Damansara itu.
DAP kini sedang giat menggerakkan agenda reformasi untuk dilaksanakan menjelang Mei tahun depan, satu ikrar yang dibuat selepas parti itu kalah teruk dalam pilihan raya Sabah tanpa meraih sebarang kerusi DUN.
Selain reformasi polis dan SPRM, DAP turut berikrar memastikan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

