malaysiakini logo
story-image
ADS

KATA MP | Siapa nak berkawan dengan PAS, PAS terima. Asalkan tidak mengganggu-gugat prinsip dan dasar PAS.

Bila berkawan, PAS tunjuk bukti kesetiaan. Patuh arahan pimpinan. Sanggup letak tepi perasaan sendiri, demi nak jaga muafakat, nak jaga persahabatan. Bila berkawan, PAS buat apa sahaja nak jaga persahabatan. 

Sanggup korbankan kerusinya bagi kat kawan. Sanggup kerah jentera bantu bagi kawan menang. Sanggup keluar duit ringgit kutip derma bantu kawan. Sanggup tak tidur siang malam bantu kempen kawan. Sanggup duduk diserang bersama supaya sama-sama susah sama-sama luka.

Itulah setiakawan yang pernah PAS pamerkan.

Selepas PRU15, kerusi PAS yang paling banyak di Parlimen. Tapi PAS tetap menamakan calon dalam kalangan kawan untuk jadi Perdana Menteri. Ketika itu, semua MP PAS tanda tangan SD (akuan bersumpah) yang ada nama kawan.

Walaupun dalam hati kecil mahu nama calon PM itu daripada kalangan PAS, kerana kerusinya lebih banyak. Namun hasrat itu dipendam, kepentingan muafakat persahabatan lebih diutamakan.

Ditakdirkan jadi pembangkang, PAS namakan Ketua Pembangkang dalam kalangan kawan. Walaupun PAS lebih besar jumlahnya, kawan itu kurang jumlahnya. Tapi melihat kepada pengalaman dan kemampuan, PAS sanggup namakan kawan untuk pikul jawatan itu. Itu setiakawan.

Dalam satu PRK, PAS sanggup korbankan seorang pemimpin kanan pemudanya untuk jadi calon parti kawan. Bukan setakat jadi calon, bahkan sanggup korban keluar PAS masuk jadi ahli parti kawan, demi untuk jaga setiakawan. PRK itu tidak memihak kepada kawan. Bekas ahli PAS itu kekal jadi ahli parti kawan, demi sebuah pengorbanan.

Ada YB kawan yang menang, tak ada petugas untuk diambil jadi pegawai di pejabat pusat khidmat. PAS terima tawaran untuk jadi pegawai pejabat. Walaupun ada tawaran lain, PAS terima kerana nak jaga persahabatan.

Ketika krisis parti kawan, PAS elak untuk masuk campur, elak untuk beri kenyataan walaupun diasak bertubi-tubi oleh wartawan. PAS memilih untuk diam daripada berkata, bimbang terluka hati kawan. Jika respons sekalipun, PAS cermat memilih perkataan dan menyusun ayat, nak jaga hubungan dengan kawan.

Begitulah PAS dalam berkawan. Semua menjadi saksi kesetiakawanan PAS.

Hari ini, kawan itu sudah pergi berjalan sendiri. Merasakan diri sudah gagah, hebat, kuat. Kawan yang setia ini sudah ditinggalkan begitu sahaja.

Tak mengapa kawan. Nak pergi, pergilah. Lepas ini, buatlah semuanya seorang diri.

Bilik gerakan, kempen rumah ke rumah, pasang poster, gantung bendera, susun tempat ceramah, kawal keselamatan, buat kerja culaan, jadi ejen mengundi, ejen kira undi, jamuan kenduri.

Buatlah sendiri. Ikutlah apa yang kami ajar kalau masih belum lupa diri. PAS tidak rugi. PAS akan terus berjalan menuju destinasi menggapai redha Ilahi.

Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup kami. Terima kasih kerana membuat dunia ini mengenali, siapa kawan sejati.

Pergilah. Tak usah kembali lagi.


AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN adalah Ketua Pemuda PAS.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen