ULASAN | Hakim Mahkamah Persekutuan, Collin Lawrence Sequerah telah selesai membaca penghakimannya dalam kes Najib Razak bersabit empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 billion.
Bagi mereka yang kurang arif mengenai kes ini, ia bersabit sejumlah wang yang masuk ke akaun peribadi Najib, yang pada awalnya dikatakan derma keluarga diraja Saudi kepadanya tetapi akhirnya dibuktikan wang itu adalah dana 1MDB.
Hakim memutuskan bahawa pihak pendakwa telah berjaya membuktikan kes dan mendapati Najib bersalah dalam kesemua tuduhan itu.
Setakat ini, mahkamah belum menjatuhkan hukuman terhadap Najib.
Telefon saya berbunyi setiap beberapa minit kerana pihak media mahu mendapatkan komen saya. Saya fikir lebih baik saya sampaikan reaksi awal saya di sini.
Kes 1MDB sebenarnya berlarutan selama 15 tahun, dari 2010 apabila keraguan mengenai pelaburan 1MDB di dalam Petrosaudi mula ditimbulkan, hinggalah ke hari ini.
Ia melibatkan banyak pihak dan satu penceritaan yang panjang selama 15 tahun. Sudah tentu setiap daripada kita ada pandangan masing-masing.

Mereka yang mengikuti bukti-bukti yang telah ditunjukkan kepada umum, baik semasa isu ini dibawa di luar mahkamah sehinggalah bukti-bukti dikemukakan di mahkamah, sudah tentu bersetuju dengan keputusan hakim pada hari ini.
Mereka yang tidak bersetuju, atas sebab-sebab mereka sendiri, akan terus tidak bersetuju.
Itu hak kita masing-masing sebagai rakyat.
Apa yang penting, kes 1MDB ini telah melalui proses yang penuh, daripada mahkamah rakyat sebelum Najib didakwa hinggalah ke mahkamah undang-undang. Perbicaraan ini juga mengambil masa yang panjang, bermula dari 2019 lagi.
Selepas ini, akan ada proses rayuan di Mahkamah Rayuan hinggalah ke Mahkamah Persekutuan. Proses mahkamah ini akan mengambil masa beberapa tahun lagi.
Sudah tentu pandangan kita itu adalah hak kita, tetapi pandangan kita wajar disandarkan kepada tanggungjawab kita juga.
Tanggungjawab sebagai rakyat dalam menilai perkembangan kes ini, sama ada bersetuju atau tidak, perlulah di dalam garis undang-undang.
Jadi, sebaiknya kita teliti hujah penuh penghakiman Sequerah apabila ia dikeluarkan. Elakkan apa-apa tuduhan yang tidak berasas atau merujuk kepada hujah penghakiman itu kerana ia boleh melanggar undang-undang dan menghina mahkamah.
Tanggungjawab sebagai seorang insan, dalam kita menilai kes ini, wajarlah kita menghadam keseluruhan maklumat. Gunakan akal, kewarasan dan hati nurani kita.
Setelah melalui proses ini, sebagai seorang manusia yang telah menggunakan hak kita secara bertanggungjawab, maka damailah kita dengan apa-apa kesimpulan yang kita buat secara peribadi.

Hak untuk terus membela Najib oleh mana-mana pihak, asalkan berlandaskan undang-undang, itu hak mereka.
Kita juga wajar hormati hak pihak yang lain untuk bersetuju dengan perkembangan kes ini setakat ini.
Tidak ada sesiapa yang boleh cuba memaksa pihak yang lain untuk mengikuti pandangan mereka.
Kes 1MDB ini tidak boleh dipadamkan sampai bila-bila, dan apa pun pengakhirannya tidak akan mendamaikan pihak-pihak yang bertembung.
Kes 1MDB memang satu kes yang divisive. Kes yang memecahbelahkan rakyat Malaysia. Kes yang mengejutkan. Kes yang penuh emosi.
Jadi terpulanglah kepada setiap daripada kita untuk mencari ketenangan, agar akhirnya generasi akan datang boleh mendapat iktibar daripada episod 1MDB yang panjang ini.

Saya pasti setiap daripada kita yang mengikuti kes ini ingat di mana, pukul berapa, kita tengah buat apa, setiap kali ada perkembangan besar kes 1MDB sejak 2010.
Saya ingat masa dan ketikanya saya dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan bersabit kes 1MDB seawal November 2016.
Saya ingat apabila rayuan saya ditolak pada Ogos 2017 dan terpaksa menerima hakikat kemungkinan besar saya akan ke penjara.
Saya ingat perbincangan dengan isteri supaya dia berhenti kerja, agar masa berbaki beberapa bulan yang ada, isteri dan anak saya ikut saya berkempen ke seluruh negara kerana itu mungkin bulan-bulan terakhir yang saya ada bersama mereka.
Saya ingat apabila papan tanda elektronik di London memaparkan berita saya dijatuhkan hukuman penjara kerana mendedahkan laporan audit 1MDB.
Di antara 2013 hingga 2022, saya menulis 123 artikel dan pendedahan mengenai 1MDB. Semuanya masih ada di blog saya.
Jadi, saya faham yang semua pihak ada emosi masing-masing.
Damailah kita dengan emosi itu.
Apa yang penting jangan sesekali kita benarkan perkara yang sama berulang di masa hadapan.
Dan jika kita perlu terus menegur, walau rimas macam mana pun, kita wajib terus bersuara kerana cukuplah ada satu 1MDB dalam sejarah kita.
RAFIZI RAMLI ialah ahli parlimen Pandan dan bekas timbalan presiden PKR.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

