malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Desakan PAS: Bertenang, utamakan kestabilan jangka panjang - Hamzah
Diterbitkan:  Dec 26, 2025 8:22 PM
Dikemaskini: 12:22 PM
ADS

Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin mengingatkan semua pihak agar bertenang dan menangani perkembangan politik di Perlis dengan penuh kematangan.

Ini di tengah-tengah desakan oleh PAS agar Bersatu mengambil tindakan terhadap lima Adun mereka yang didakwa terlibat menandatangani surat akuan berkanun (SD) bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

Jelas Hamzah, sebarang keputusan dan pendirian politik harus berpaksikan kebajikan rakyat Perlis serta kelangsungan pentadbiran negeri dalam jangka panjang.

"Rakyat menaruh keyakinan penuh bahawa Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail akan menggunakan kebijaksanaan dan kuasa prerogatif Baginda selaras dengan Perlembagaan Negeri, bagi menentukan pelantikan Menteri Besar baru," tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Politik di Perlis bergolak selepas wujud usaha menyingkirkan Mohd Shukri menerusi tindakan lapan Adun, masing-masing tiga daripada PAS dan lima daripada Bersatu.

Mereka juga dikatakan telah menyerahkan SD kepada Raja Perlis, bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap Mohd Shukri.

Susulan itu, PAS memaklumkan keahlian tiga Adunnya di Perlis terhenti berkuat kuasa serta-merta. Mereka ialah Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan telah mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga DUN berkenaan.

Semalam Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar Perlis.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa Bersatu mengambil tindakan tegas terhadap lima Adun daripada parti mereka.

Menurut Tuan Ibrahim tindakan sedemikian penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam PN.

Dalam pada itu, Hamzah menekankan bahawa mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu perlu dihormati, apabila Perikatan Nasional (PN) diberi kepercayaan untuk mentadbir negeri tersebut.

"Keutamaan adalah bagi memastikan Kerajaan Negeri Perlis terus berfungsi dengan baik dan dapat menumpukan sepenuhnya perhatian kepada kebajikan serta keperluan rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen