Isu melibatkan beberapa projek di Perlis antara punca krisis politik yang membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Bercakap pada satu sidang media di Marang hari ini, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata banyak projek besar di negeri itu tidak mengikut peraturan.
"Projek banyak sangat. Projek tak ikut peraturan pula, salah. Di sebaliknya ada rasuah, di sebaliknya ada macam-macam.
“Dia (Shukri) tak boleh ikut. Saya tak perlu sebutlah siapa dia.
"Jadi bila kuat tekanan, kita terpaksa bertindaklah,” kata Abdul Hadi.
Bagaimanapun Abdul Hadi tidak menerangkan lebih lanjut projek besar yang dimaksudkannya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen daripada Bersatu berkenaan dakwaan Abdul Hadi.
Terdahulu, politik di Perlis bergolak selepas wujud usaha menyingkirkan Mohd Shukri menerusi tindakan lapan Adun - masing-masing tiga daripada PAS dan lima daripada Bersatu - yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis berkenaan.
PAS semalam memaklumkan keahlian tiga Adunnya terhenti berkuat kuasa serta-merta.
Mereka ialah Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
Susulan daripada itu, speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga DUN berkenaan.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata Mohd Shukri meletakkan jawatannya sebagai menteri besar bukan kerana zalim dalam pentadbirannya, tetapi kerana “dizalimi”.
“Dia menteri besar yang turun ke medan. Orang masih sokong dia. Dan dia pun tak nak jadi menteri besar dah.
"Dia dizalimi, bukan dia zalim. Kita dalam Islam ni, orang kena zalim ni nabi ajar Tuhan terima doa," katanya.

