malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dua beranak rentung: Lelaki didakwa bunuh ibu dan adik angkat
ADS

Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di Butterworth hari ini atas dua pertuduhan membunuh ibu dan adik angkatnya dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah pada 10 Dis lepas.

Daniel Qayyum Kamalrolzlan, 23, mengangguk faham selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa membunuh Hayani Yaakob, 51, dan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sebuah rumah di Taman Teluk Air Tawar, di Butterworth pada 9.45 pagi, 10 Dis.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Majistret Balqis Roslin tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat kedua-dua mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Idayu Yusoff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 23 Dis, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail mengesahkan kebakaran yang mengorbankan seorang wanita dan anak angkatnya di Telok Air Tawar, Butterworth kira-kira dua minggu lepas, dipercayai dilakukan oleh anak lelaki mangsa.

Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia lingkungan 50-an dan anak angkat perempuannya rentung selepas terperangkap di dalam rumah itu, manakala tertuduh cedera dihempap struktur bumbung yang runtuh.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen