malaysiakini logo
story-image
ADS

Menteri Besar Perlis Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatannya selepas menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

“Pertamanya nak maklumkan bahawa saya diperkenan mengadap Ke Bawah Duli Tuanku tengah hari tadi dan telah menyatakan hasrat saya meletak jawatan sebagai menteri besar atas faktor kesihatan saya, seperti mana yang kita tahu tak berapa mengizinkan.

“Saya telah menyembah surat peletakan jawatan, jadi sehubungan itu saya nak merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran kerajaan Perlis telah memberi kerjasama yang cukup erat kepada saya dan sahabat dalam pentadbiran,” katanya pada sidang media, sebentar tadi.

Bagaimanapun, Shukri berkata pihaknya masih menunggu jawapan daripada Tuanku Syed Sirajuddin mengenai status jawatannya itu.

Perkembangan itu menyusul selepas Speaker DUN Perlis mengumumkan bahawa tiga kerusi DUN — Chuping, Bintong dan Guar Sanji — dikosongkan apabila PAS mengumumkan terhentinya keahlian ketiga-tiga Adun berkenaan.

Tindakan itu diambil terhadap Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail; dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim. Ia dipercayai susulan pergolakan yang melanda kerajaan Perlis berikutan usaha menjatuhkan kepimpinan Shukri.

Gerakan terancang

Mengulas krisis tersebut, Shukri yang juga Adun Sanglang menyifatkan tindakan ketiga-tiga Adun berkenaan sebagai gerakan yang terancang.

Malah dia juga menganggap perbuatan tersebut sebagai satu pengkhianatan memandangkan wakil rakyat PAS telah berbaiah sebelum menjadi calon pilihan raya.

“Apabila kita berbaiah, kita tak boleh terima sebarang imbuhan, haram untuk dimakan, itu sama-sama setuju semasa nak jadi calon dulu. Saya tak tahu (gerakan tolak menteri besar), kalau saya tahu dah sekat awal.

“Kalau kita tengok dari segi maklumat tak bocor, terancanglah. Sebab maklumat langsung tidak dapat dikesan, tiba-tiba terjadi saja. Saya pun dapat maklumat pada hari kejadian, itu kebijaksanaan mereka merancang,” katanya.

Ditanya mengenai penggantinya, Shukri menegaskan bahawa calon Menteri Besar sepatutnya daripada PAS.

“Tapi apa pun peletakan jawatan saya ini atas faktor kesihatan dan sukarela , selebihnya saya serahkan kepada kebijaksanaan Tuanku.

“Sepatutnya MB daripada PAS, sebab PAS majoriti,” ujarnya.

Tambah bekas guru itu, dia tidak kecewa dengan apa yang berlaku kerana sikapnya menghargai persahabatan.

“Saya nak kata kecewa pun tidak juga, cuma kesilapan saya terlalu baik dan menghargai persahabatan ini dan kita langsung tidak menjangkakan bahawa persahabatan ini kita dilakukan sedemikian,” kata Shukri lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen